VOGE DS800X Rally akan hadir di Malaysia Bike Show 2026?

Model adventure touring VOGE DS800X Rally dan VOGE DS625X sudah berada di Malaysia dan mungkin dua model ini akan buat kemunculan rasmi di Malaysia Bike Show (MBS) 2026.

Kami ada melihat model VOGE DS800X Rally secara dekat semasa melawat ibu pejabat Mforce Bike Holdings (Mforce) di Pulau Pinang baru-baru ini.

Artikel ini akan tumpu kepada model VOGE DS800X Rally. Cerita untuk VOGE DS625X akan dikongsi selepas ini.

VOGE DS800X Rally ini pernah tampil di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2024 di Itali sebelum model ini mula memasuki ke pasaran antarabangsa.

Maklumat tentang hasrat Mforce Bike Holdings (Mforce) membawa masuk model ini, VOGE DS800X Rally, ke Malaysia sudah diketahui sejak Mac 2025.

Persoalan sekarang, adakah Mforce akan melancarkan VOGE DS800X Rally di Malaysia Bike Show 2026 nanti?

Belum ada pengesahan rasmi mengenai spesifikasi model ini. Di bawah ini adalah spesifikasi VOGE DS800X Rally untuk pasaran global:

  • Enjin 2-silinder 798cc DOHC 8-injap dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api (FI).
  • Output kuasa dijana ialah 93.8hp @ 9,000rpm dan tork puncak 81Nm @ 6,500rpm.
  • Kotak gear jenis manual 6-kelajuan.
  • Sistem suspensi membabitkan fork terbalik (upside down – USD) KYB boleh laras (depan) dan monoshock KYB boleh laras di belakang.
  • Sistem henti merangkumi brek cakera kembar untuk roda depan dan cakera tunggal di belakang.
  • Motosikal ini ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) depan-belakang, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS).
  • Rim jejari 21 inci di depan dibalut tayar 90/90. Rim belakang 18 inci dengan tayar saiz 150/70
  • Instrumen meter 7 inci digital TFT berwarna. Sistem pencahayaan membabitkan lampu LED sepenuhnya.
  • Saiz VOGE DS800X Rally ialah 2,380mm panjang, 910mm lebar dan 1,460mm tinggi.
  • Berat motosikal cuma 213kg. Tinggi tempat duduk pula 850mm dengan jarak bumi 220mm.
  • Tangki petrol boleh tampung sehingga 24 liter petrol.