
Selepas lima bulan perjanjian dimeterai, jenama produk Peugeot Motocycles akhirnya membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia dengan tiga model skuter.
Bertempat di Aurum Theater (The Exchange TRX), Peugeot Motocycles Malaysia yang diuruskan Aveta International mengumumkan tawaran skuter premium:
- Peugeot XP400 GT (RM43,990)
- Peugeot Django Classic (RM14,990) dan Django Cafe Racer (RM16,990)
- Peugeot Speedfight 4+ (RM9,990)

Skuter Berbeza Segmen
Peugeot Motocycle Malaysia menawarkan setiap satu produk premium mereka untuk segmen berbeza di pasaran tempatan.
Peugeot XP400 GT disediakan untuk pengguna yang mencari model skuter adventure ringan dalam kelas pertengahan (400-500cc).
Peugeot Django Classic pula fokus kepada pencari skuter premium neo-retro manakala Django Cafe Racer menjurus kepada skuter gaya hidup neo-retro.
Peugeot Speedfight 4+ pula mencari ruang dalam kategori skuter urban sport premium.
Secara menyeluruh, Peugeot Motocycles Malaysia berhasrat menjual lebih 3,000 unit skuter jenama Perancis itu di Malaysia dalam tempoh setahun.
Apa Rancangan Peugeot Motocycle di Malaysia?
Sebagai permulaan, Aveta International sudah mengumumkan tiga model di atas. Dua adalah model pemasangan tempatan (CKD) dan satu diimport dari luar. Ini status model:
- Django: CKD
- Speedfight 4+: CKD
- XP400GT: CBU (import)
Pelan mereka ialah Django dan Speedfight 4+ akan dipasang di kilang Aveta di Klang, Selangor. Ini akan membantu mengurangkan kos harga skuter serta menguatkan ekosistem, menyokong vendor-vendor tempatan serta membuka peluang kerja.
Bawa, Pasang Skuter…. Jualan di Mana?

Untuk memastikan jenama Peugeot Motocycle mudah dicapai sasaran pembeli, Aveta International sudah merancang untuk membuka satu rantaian pengedar eksklusif di lokasi terpilih dalam masa terdekat.
Rancangan mereka adalah untuk merasmikan antara 10 sehingga 15 premis pengedar Peugeot Motocycle di Malaysia sepanjang tahun ini.
Premis perdana pertama Peugeot Motocycle adalah di Bukit Tambun, Pulau Pinang yang akan dirasmikan pada 9 Mei 2026.
Dua lagi premis masing-masing akan dibuka di Johor Bahru, Johor dan Lembah Klang menjelang awal bulan Jun ini.
Bawa, Pasang, Jual…. Servis Mana?
Model skuter Peugeot Motocycle didatangkan dengan jaminan selama 2 tahun atau jarak perbatuan 20,000km (mana-mana tiba dulu).
Pelanggan boleh servis skuter mereka menerusi pusat servis Peugeot Motocycles dan juga perkhidmatan bergerak Aveta Care on Wheels.
Ada Nak Bawa Skuter Elektrik?

Tidak mustahil… Ini kerana mereka sebenarnya sedang mempertimbangkan solusi mobiliti elektrik pintar jangka panjang di Malaysia.
Artikel Berkaitan
- Aveta jadi pengedar rasmi Peugeot Motocycles di Malaysia
- Peugeot Motocycle akhirnya kembali semula ke Perancis?



