![]()
Keeway memilih Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2024 sebagai pentas untuk debut skuter kapasiti kecil mereka iaitu Keeway Icon 125S.
Model ini menjadi tumpuan kerana ada pihak merasakan reka bentuk Keeway Icon 125S mengambil inspirasi daripada model-model popular Jepun… salah satunya Honda Vario 125?
Keeway Icon 125S ini digambarkan sebagai skuter moden dan bersifat versatil. Rekaannya untuk kegunaan dalam persekitaran bandar susulan saiznya yang kompak dan gaya sporty.
Siapa pembeli Keeway Icon 125S
Individu yang akan tertarik untuk mendapatkan Keeway Icon 125S adalah mereka yang mencari sebuah skuter:
- Berekonomi (efisien petrol dan kos penyelenggaraan rendah)
- Praktikal (teknologi mudah atau tak sarat dengan sensor)
- Selesa
Ini sudah tentu merujuk kepada mereka yang sudah ada kenderaan utama tetapi inginkan kenderaan sekunder untuk kegunaan jarak dekat, golongan pelajar dan juga suri rumah.
![]()
Perincian Keeway Icon 125S (2025)
Enjin digunakan jenis 4-lejang silinder tunggal 123.6cc 2-injap SOHC dengan sistem sejukan udara dan suntikan bahan api (FI).
Output kuasa ialah 9.39hp pada 7,500rpm dengan tork maksimum 9.5Nm pada 6,000rpm. Sistem transmisi automatik CVT dengan pacuan tali sawat.
Enjin skuter boleh dihidupkan dengan menekan butang atau menggunakan penendang kaki (ciri yang semakin sukar dilihat).
Rim aloi digunakan bersaiz 14 inci depan dan belakang, saiz tayar standard digunakan adalah 80/90-14 (depan) dan 90/90-14 (belakang).
Sistem brek membabitkan cakera depan 190mm kaliper 1-piston. Brek belakang jenis drum 130mm.
Keeway Icon 125S menggunakan fork teleskopik dengan jarak gerak (travel) 80mm dan absober monoshock dengan jarak travel 48mm.
Ketinggian tempat duduk ialah 750mm. Skuter ini menggunakan tangki minyak sebesar 4.5 liter. Berat kasar ialah 105kg dan kelajuan maksimum 92km/j.
Skuter ini menggunakan sistem pencahayaan LED penuh, , ada soket USB dan sistem kemasukan tanpa kunci (keyless start system).

