
Pagi tadi, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sudah melancarkan model terbaharu Yamaha Tenere 700 untuk pasaran Malaysia. Harga badannya RM58,998.
Tenere terbaharu itu bukan varian Rally atau World Raid. Ini adalah model tahun (MY) 2025 yang akan mengambil alih tempat Tenere edisi 2024 (MY 2023).

Satu perkara yang anda perlu tahu ialah Tenere ini adalah produk pemasangan tempatan (CKD) di kilang HLYM di Sungai Buloh, Selangor.
Jadi, apa yang menarik tentang Yamaha Tenere 700 ini? Motosikal adventure terbaharu ini didatangkan dengan beberapa kemajuan terkini berbanding model sebelumnya iaitu:
- Model tahun 2025 dilengkapi Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) iaitu sistem pendikit ride-by-wire.
- Menerima ciri Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dinyah aktif.
- Ada dua mode tunggangan iaitu Sport dan Explorer.
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan tiga mode pilihan tetapan iaitu
- Mode 1: ABS aktif pada kedua-dua roda
- Mode 2: Matikan ABS roda belakang, roda depan ABS masih aktif
- Model 3: Matikan ABS depan dan belakang
- Ada butang khas ABS disediakan di sebelah meter untuk buat pemilihan mode ABS.
- Konsol kiri kini ada set butang kawalan baharu beserta tombol (d-pad controller dengan joystick) untuk pemilihan tetapan.
- Meter digital kini TFT berwarna saiz lebih besar iaitu 6.3 inci berbanding meter asal 5 inci LCD.
- Meter boleh disambung pada telefon pintar (Y-Connect) dan ada navigasi arah-ke-arah.
- Lampu depan projektor rekaan baharu.
- Fork USD 43mm KYB ditambah baik dengan kelebihan boleh laras prabeban. Ciri laras lantunan dan mampatan dikekalkan sama seperti model sebelumnya.
- Sistem suspensi belakang dikemas kini. Absober monoshock dengan akses mudah ke tombol penyelaras serta menerima rekaan pautan (linkage) belakang baharu.
- Tempat duduk lebih rata.
- Peg kaki (pemijak kaki) lebih lebar.
- Rekaan semula salur kemasukan udara enjin.
- Ada soket USB Type-C di sebelah kanan meter.
- Enjin kekal seperti model semasa iaitu jenis 2 silinder sebaris 689cc DOHC 4-injap, menghasilkan kuasa 72.4hp @ 9,000rpm dan tork 68Nm @ 6,500rpm.
- Kotak gear manual 6-kelajuan.
- Berat kasar 208kg
- Tangki minyak 16 liter.
- Tinggi pelana 875mm.
- Rim depan 21 inci, belakang 18 inci.




































