
Bimota memperkenalkan sportbike kelas pertengahan baharu iaitu Bimota KB399 (2027) dan satu lagi versi edisi khas Bimota KB399 Edizione Speciale (2027).
Model KB399 ini menjadi cerita bualan peminat motosikal kerana penampilan model ini tidak seperti apa yang biasa Bimota lazimnya akan lakukan. Ada yang boleh terima, ada pula yang rasa kecewa.
Bimota KB399 jelmaan Kawasaki Ninja ZX-4RR?
Bimota meminjam sejumlah komponen dan enjin daripada model Kawasaki Ninja ZX-4RR.
Apa yang menjadikan KB399 ini satu topik perbincangan ialah model ini ibarat ZX-4RR salin fairing. Bukan seperti apa yang Bimota biasa lakukan: hasilkan frem baharu dan sistem suspensi depan ‘eksotik’.
Harga Bimota KB399 dan KB399 Edizione Speciale
Malah harga Bimota KB399 dianggap mahal jika dibandingkan dengan beberapa model lain kelas 400cc hingga 675cc.
Di bawah ini ialah harga yang diumumkan untuk Bimota KB399:
- Bimota KB399: £9,749 (anggaran RM51,205)
- Bimota KB399 Edizione Speciale: £14,699 (anggaran RM77,204)
- Beza harga varian: £4,250 (anggaran RM22,322)
Betul ke harga sekarang mahal?
Ada beberapa pandangan dikongsi mengenai soal harga Bimota KB399.
- Segelintir pihak merasakan harga jualan semula (resale value) tidak akan jatuh mendadak macam model Kawasaki Ninja ZX-4RR. Malah mungkin lebih berbaloi.
- Kos pemilikan lebih murah sebab guna barang ZX-4RR. Senang nak dapat alat ganti.
Apa anda perlu tahu tentang Bimota KB399 (2027)?
Kawasaki memiliki pegangan 49.9 peratus dalam syarikat Bimota semenjak tahun 2019. Maka bukan satu kejutan jika banyak model baharu Kawasaki ditukar jadi Bimota.
KB pada nama model KB399 bermaksud Kawasaki-Bimota. Macam nama sebelum ini seperti DB (Ducati-Bimota), SB (Suzuki-Bimota), YB (Yamaha-Bimota) dan HB (Honda-Bimota).
Tempahan untuk KB399 akan dibuka 3 April 2026 dan kiriman pertama dijadualkan selewat-lewatnya November 2026. Model ini adalah model tahun 2027.
Bimota KB399 standard guna panel plastik. KB399 Edizione Speciale (ES atau Edisi Khas) dapat panel gentian karbon.
Model Edisi Khas juga ada kelainan sistem monoshock belakang (Ohlins STX46), hendal jenis clip-on, peg kaki dan tuil brek/gear billet.
Enjin sama macam Ninja ZX-4RR, menawarkan kuasa sama seperti ZX-4RR menggunakan bantuan Ram-Air untuk capai output 79bhp (58.7kW).
Tanpa Ram-Air, output Ninja ZX-4RR ialah 76bhp (57kW). Data kuasa Bimota dipercayai sama macam julat ini.
Perincian enjin kekal iaitu berkapasiti 399cc, gerek 57mm, lejang 39.1mm, nisbah mampatan 12.3:1 dengan throttle badan 34mm.
Peredam ekzos ditukar kepada jenis Akrapovic (titanium). Laporan mengatakan bukan tambah kuasa tapi bikin nada ekzos lebih sedap.
Ciri elektronik dan bantuan tunggangan sama macam Ninja ZX-4RR. Ada kawalan cengkaman 3 peringkat, mod kuasa, Quick Shifter dan sebagainya.
Guna frem, swingarm, fork Showa SFF-BP dan monoshock Showa BFRC sama macam Ninja ZX-4RR. Tapi fork depan Bimota KB399 boleh laras prabeban dan redaman.
Sistem brek mengekalkan saiz sama seperti Ninja ZX-4RR iaitu 290mm tetapi kaliper ditukar kepada Brembo Stylema 4-piston (depan).















