
Lancar macam-macam model tetapi bagaimana pula dengan aspek servis dan stok alat ganti? Tahun lepas, 40 model baharu diperkenalkan MForce Bike Holdings (MForce).
Itu antara soalan yang kerap disuarakan segelintir pihak di media sosial hampir setiap kali MForce mengumumkan model skuter atau motosikal baharu ke pasaran kita.
Persoalan ini tidak dipandang sepi MForce kerana mereka sebenarnya sudah ada perancangan untuk mengembangkan keperluan itu serta menambah baik aspek perkhidmatan selepas jualan demi pelanggan.

Hari ini, salah satu usaha itu direalisasikan menerusi perasmian sebuah pusat servis baharu berskala besar dengan keluasan 77,000 kaki persegi di Kuala Lumpur. Lokasinya tidak jauh dari pusat servis asal di Segambut.
Premis baharu ini dipanggil Pusat Servis dan Pejabat Urusan MForce Bike Holdings cawangan Kuala Lumpur (atau Pusat Servis MForce Wilayah Tengah) yang menelan belanja sebanyak RM40 juta.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Malaysia Motorcycle & Scooter Dealers Association (MMSDA), Datuk Wee Hong; Pengarah Urusan MForce, Datuk Seri Tan Lean Heah; Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad; Pengurus Jualan Kanan MForce, Tang Hai Teik; Pengurus Jualan MForce, Alex Lim Juinn Han dan Woon Huey Li.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd., Muhammad Zameer Zahur Hussain; wakil tetamu dari pelbagai jenama syarikat motosikal, tetamu jemputan serta kelab motosikal MForce.
PUSAT SERVIS MFORCE TERBESAR MALAYSIA
Inilah pusat servis milik MForce terbesar di Malaysia. Usaha menambah baik aspek servis selepas jualan dan peralatan juga akan dilakukan di lokasi lain, antaranya di Johor Bahru, Johor dan Ipoh, Perak. Untuk dua lokasi ini, kita tunggu pengumuman rasmi nanti.
Pusat Servis dan Pejabat Urusan MForce Bike Holdings di Segambut ini akan memainkan peranan untuk menampung dan menyokong kapasiti penyelenggaraan serta servis pada skala lebih tinggi, sekali gus memendekkan masa menunggu dan kecekapan operasi secara keseluruhan.
APA ADA DALAM CAWANGAN PUSAT SERVIS INI?
Premis dua tingkat yang hampir menyamai keluasan sebuah padang bola sepak ini ibarat sebuah hab sehenti untuk menambah baik pengalaman pemilikan produk MForce serta menguatkan aspek penjenamaan dan meningkatkan lagi kepercayaan pelanggan.
TINGKAT BAWAH
Tingkat bawah bangunan ini ada dua bahagian utama iaitu ruang pameran yang dinamakan MForce Gallery di sebelah kanan. Galeri itu mampu mempamerkan sehingga 16 susun atur pelbagai jenama motosikal dan skuter di bawah kendalian MForce.
Di sebelah kiri (bertentangan dengan galeri) adalah ruangan khas untuk pelanggan. Tempat ini sememangnya luas dan selesa, membolehkan pelanggan menunggu dengan selesa serta mereka boleh melihat kerja-kerja servis dibuat di sebalik cermin kaca.
Dalam tempat sama, ada ruangan pameran dan jualan pelbagai topi keledar dan pakaian keselamatan tunggangan jenama LS2 serta rangkaian produk pelincir MForce Oil. Bilik solat lelaki dan wanita serta kemudahan tandas juga disediakan di kawasan berhampiran.
Di bahagian belakang ruang pelanggan menunggu, inilah tempat kerja-kerja servis dan penyelenggaraan dilakukan menerusi 18 ruang kerja (bike lift).
Di bahagian tengah, ada sebuah Motorcycle Inspection Test Bench atau mesin dyno (dinamometer) yang digunakan untuk pemeriksaan motosikal dan skuter dengan lebih menyeluruh dan profesional.
Mesin berharga RM1.5 juta itu membolehkan pemeriksaan menyeluruh berhubung aspek keselamatan dan keadaan motosikal, membabitkan sistem brek, pencahayaan serta penjajaran badan sejajar dengan piawaian industri.
TINGKAT ATAS
Ruang atas menempatkan pejabat urusan MForce, ruangan istirahat untuk para pelanggan dan tetamu, sebuah kafe iaitu CR Café. Lorong di antara pejabat dan kafe tersebut lalu ke gudang alat ganti.
Tingkat di atas MForce Gallery adalah sebuah dewan skala besar dan ada laluan ke restoran di dalamnya.
TAMPUNG KEPERLUAN PELANGGAN
Pusat servis ini akan beroperasi secara sepenuhnya dalam masa terdekat.
Pusat ini akan menampung keperluan pelanggan MForce di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Selatan Perak dan Selatan Pahang.



































































