
MDUA Motor selaku pengurus jenama MODA di Malaysia menambah satu lagi skuter ke pasaran Malaysia iaitu MODA Aero E.
Di Malaysia, Aero E ialah skuter keempat jenama MODA yang dilancarkan tahun ini selepas MODA Sporter S (2025), MODA Shifter 400X dan MODA Moca (2025).
Aero E nampaknya diposisikan di atas Moca dan skuter terbaru itu ditawarkan dengan harga badan RM5,189 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans).
Pilihan warna disediakan ada dua iaitu Cobalt Blue (biru) dan Carmine Red (merah). Aero E sudah berada di kedai rangkaian pengedar di seluruh negara.
Aero E hadir sebagai skuter moden yang dicipta untuk penunggang muda dan mereka yang mahu memaparkan gaya aktif serta gaya hidup masa kini.
Perincian skuter MODA Aero E

- Enjin digunakan jenis silinder tunggal 118.8cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api dan menggunakan kaedah penyejukan udara.
- Output kuasa yang boleh diekstrak ialah 9.1hp pada 7,500rpm dan tork 9.5Nm pada 6,000rpm.
- Sistem transmisi jenis automatik CVT dengan pacuan tali sawat.
- Berat kasar skuter ini ialah 110kg. Tinggi tempat duduk cuma 780mm. Jarak roda cuma 1,316mm.
- Tangki minyak berkapasiti 5.5 liter. Ruang simpanan bawah tempat duduk ialah 6.5 liter.
- Sistem pencahayaan digunakan ialah LED dengan bantuan sepasang lampu projektor di bahagian hadapan.
- Meter skuter ini jenis digital LCD dan skuter ini ada soket USB Type-A dan Type-C.
- Aero E menggunakan tayar depan bersaiz 90/90-14 dan tayar belakang 100/90-14. Rim aloinya 14 inci.




































