Aprilia Tuono 457 akan lancar di India bulan depan?

Aprilia menarik perhatian ramai selepas menampilkan model Aprilia Tuono 457 di Pameran EICMA 2024. Motosikal itu adalah naked bike versi RS457 yang sudah mula dijual di Malaysia semenjak 30 Oktober lalu.

Laporan menyatakan India akan mula menjual Aprilia Tuono 457 bermula Januari 2025 dan dipercayai akan diperkenalkan di Ekspo Mobiliti Bharat 2025 pada bulan depan (Januari 2025).

Di India, Aprilia Tuono 457 akan menjadi model paling mampu milik jenama Itali itu selepas sportbike RS457. Bukan itu saja, naked bike itu juga adalah model terkecil Aprilia dalam siri Tuono (Touno V4 dan Tuono 660).

Walaupun dikatakan jelmaan semula RS457 tanpa fairing, Aprilia Tuono 457 ada beberapa perbezaan dengan versi sport bike itu.

Pertama, bar hendal kini lebih lebar dan berbeza dengan Aprilia RS457. Ini membolehkan penunggang mendapat kawalan lebih selesa semasa menunggang dalam bandar.

Kedua, lampu depan menunjukkan perbezaan dengan meneruskan rekaan dari siri Tuono lain. Aprilia Tuono 457 menggunakan lampu projektor LED yang disusun secara bertingkat yang diapit sepasang lampu DRL.

Tuono 457 tiada kowl depan dan fairing sisi yang dipasang pada frem seperti dua abangnya, Touno V4 dan Tuono 660.

Perbezaan ketiga ialah tangki minyak nampak lebih menonjol dibantu dengan garisan binaan yang lebih tajam tetapi saiz kapasitinya lebih kecil iaitu 12.7 liter berbanding 13 liter pada RS457.

Perubahan saiz juga boleh dilihat pada kowl radiator yang kini lebih tirus berbanding versi sportbike RS457.

Bentuk tempat duduk dan ekor belakang nampak sama untuk dua varian Aprilia 457 itu.
Aprilia memasang meter digital TFT 5 inci berwarna yang boleh disambung dengan Bluetooth telefon pintar.

Antara ciri yang boleh digunakan ialah pengurusan panggilan telefon, muzik dan sistem navigasi
Enjin Tuono 457 dan RS457 sama iaitu jenis 4 strok dua silinder selari 457cc DOHC dengan 4 injap setiap silinder, menghasilkan kuasa 47.6hp @ 9,400rpm dan tork 43.5Nm @ 6,700rpm.

Kotak gear jenis 6 kelajuan klac manual dan tidak didatangkan dengan Quickshifter tetapi anda boleh tambah sistem Aprilia Quick Shifter dengan bayaran tambahan.

Frem Aprilia Tuono 457 jenis spar twin daripada material aluminium yang diikat dengan fork USD 41mm boleh laras preload (prabeban) sahaja.

Suspensi belakang kekal monoshock (penyerap hentak tunggal) dan boleh juga anda laras ikut selera masing-masing.

Brek cakera tunggal dipasang pada rim 17 inci depan dan belakang. Cakera depan saiz 320mm dan belakang 220mm. Tuono 457 menggunakan kaliper ByBre.

Sistem brek dilengkapi teknologi ABS (sistem brek anti-kunci) Bosch depan dan belakang dengan dua pilihan tetapan.

Tuono 457 juga ada sistem elektronik sama seperti RS457 dan ini termasyk sistem Ride by Wire, tiga mod tunggangan (Eco, Sport dan Rain), Traction Control (kawalan cengkaman roda).

Warna pilihan ada dua iaitu merah Piranha Red dan kelabu Puma Grey.