Triumph Daytona 660 2024 diperkenalkan, harga dari £8,595.00

Triumph baru-baru ini telah memperkenalkan model sport bike terbaharu iaitu Triumph Daytona 660 2024. Model tersebut tampil dengan tiga pilihan warna menarik. Di pasaran UK, harga yang ditawarkan untuk model tersebut bermula dari £8,595.00, bersamaan nilai RM 50,844.73.

Daytona 660 dikuasakan enjin 660cc (liquid cooled, inline 3-cylinder,12 valve, DOHC, 240° firing order) dengan padanan sistem transmisi enam kelajuan dan slip and assist clutch. Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 95PS @ 11,250rpm dengan tork puncak 69Nm @ 8,250rpm.

Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti memuaskan 14 liter. Di bahagian suspensi, ianya dilengkapi fork depan Showa 41mm Separate Function Forks – Big Piston (SFF-BP), yang bergandingan dengan suspensi belakang Showa monoshock RSU (with preload adjustment).

Sistem brek cakera depannya merupakan jenis berkembar (twin 310 mm floating discs, 4 piston radial callipers), dan dipadankan bersama-sama cakera belakang tunggal (single 220 mm fixed disc, single piston sliding calliper). Sistem brek tersebut lengkap dengan ABS Dual Channel.

Daytona 660 seterusnya dilengkapi sistem ride-by-wire dengan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain, traction control, panel meter TFT, sistem lampu LED, sistem baharu Emergency Deceleration Warning, dan tayar bersaiz 120/70-R17 (depan) dan 180/55-R17 (belakang).

Tinggi tempat duduknya 810 mm, dan berat penuhnya 201 kg. Untuk pasaran Malaysia, Triumph Daytona 660 2024 ini dijangka akan turut dilancarkan, bagi melengkapkan dua model 660cc yang diperkenalkan sebelum ini iaitu Triumph Trident 660 dan Triumph Tiger Sport 660.