Ekzos bising pada motosikal mampu meningkatkan kelajuan – fakta atau auta?

Sejak akhir-akhir ini, isu ekzos bising atau ekzos perang @ prangggg pada motosikal menjadi topik panas yang dibincangkan bukan saja oleh komuniti peminat motosikal di seluruh negara, malah oleh masyarakat awam dan juga pihak media. Ekzos bising telah lama menjadi isu di negara kita, namun kenapakah ianya tiba-tiba meletup tahun ini?

Antara sebabnya mungkin kerana sejak beberapa tahun yang lepas, modifikasi yang dilakukan pada motosikal menjadi semakin ekstrem dan berani. Banyak model-model motosikal yang suatu ketika dahulu hanya layak dipamerkan di pertandingan auto show, kini sudah ditunggang di jalan raya tanpa ada sebarang perasaan takut atau bersalah.

Modifikasi ekzos menjadi terlalu keterlaluan, bunyi yang dikeluarkan sangat kuat dan bingit, sehingga mengganggu ketenteraman pihak lain tanpa sebab. Akhirnya isu yang kebiasaannya kecil kini telah menjadi besar, seterusnya membuatkan orang ramai mula membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya tindakan tegas diambil dengan segera.

Salah satu mitos mengenai kewajaran menggunakan ekzos bising atau ekzos perang pada motosikal ialah ianya dapat meningkatkan kelajuan ke tahap yang lebih tinggi, jika dibandingkan dengan penggunaan ekzos standard. Namun sejauh manakah kebenaran mitos ini yang telah lama dipegang oleh ramai peminat motosikal sejak dahulu lagi?

Berdasarkan pengalaman penulis dan juga rakan-rakan lain yang telah lama terlibat dalam dunia motosikal, sememangnya benar penggunaan ekzos yang telah diubahsuai dengan mengeluarkan bunyi yang lebih nyaring dan kuat dapat meningkatkan tahap kelajuan sesebuah motosikal. Rasanya tiada siapa yang dapat menyangkal perkara ini.

Bagaimanapun realitinya ialah tahap kelajuan tersebut tidaklah terlalu tinggi. Sebaliknya tahap kelajuan baharu yang diperolehi itu hanya meningkat kepada beberapa kilometer sahaja. Secara teorinya, tekanan ekzos yang lebih kuat akan memberikan pula tekanan kepada putaran enjin untuk bekerja lebih keras, yang turut dibantu oleh modifikasi lain.

Jadi boleh dikatakan tidak berbaloi untuk menggunakan ekzos bising jika ianya hanya mampu meningkatkan sedikit sahaja kelajuan pada motosikal. Tambahan pula, pelbagai modifikasi lain boleh dilakukan pada enjin dan sistem ECU tanpa perlu menggunakan ekzos bising, jika tujuan sebenar hanya untuk meningkatkan kelajuan sahaja.

Bagi motosikal yang digunakan dalam perlumbaan di litar pula, penggunaan ekzos yang telah diubahsuai dan mengeluarkan bunyi yang kuat adalah suatu keperluan wajib demi meningkatkan kelajuannya. Ini kerana di dalam perlumbaan, tempoh kurang dari 1 saat sahaja sudah cukup untuk menentukan siapakah yang layak menjadi juara sebenar.

Ekzos bising sememangnya lebih cantik berbanding ekzos asal. Bunyinya yang lebih kuat, nyaring dan meletup-letup, membuatkan perasaan pemiliknya berbunga-bunga dan bangga. Namun malangnya di negara kita dan di mana-mana negara lain di dunia ini, ada undang-undang yang telah menghadkan bunyi yang dikeluarkan dari ekzos.

Tiada salahnya mengenai undang-undang tersebut, kerana ianya menjaga kepentingan awam yang pastinya terjejas dengan bunyi-bunyian daripada ekzos motosikal sekiranya tidak dikawal. Kelajuan pada motosikal memang penting, namun tidaklah terlalu penting sehingga kita perlu melanggar undang-undang untuk mencapai sasaran kelajuan itu.