Royal Enfield Super Meteor 650 2023 akan tiba di pasaran Malaysia pada September 2023

Royal Enfield Malaysia bakal melancarkan model terbaharu Royal Enfield Super Meteor 650 2023, pada akhir bulan September 2023 akan datang. Sebelum itu, model berkenaan telah dipertontonkan kepada orang ramai di Art of Speed Malaysia, yang berlangsung di MAEPS, Serdang (29 – 30 Julai 2023). Untuk pasaran Malaysia, ianya akan ditawarkan dalam dua varian Standard dan Tourer.

Merujuk laman sesawang Royal Enfield Malaysia, varian Standard tampil dengan lima pilihan warna menarik seperti Astral Green, Astral Blue, Astral Black, Interstellar Grey dan Interstellar Green. Varian Tourer pula mempunyai dua pilihan warna iaitu Celestial Red dan Celestial Blue. Royal Enfield Super Meteor 650 dikuasakan enjin bersesaran 648cc (Parallel twin, 4 stroke, SOHC, Air-Oil Cooled).

Enjin itu menghasilkan prestasi maksimum 47PS @ 7,250rpm dengan tork 52.3Nm @ 5,650rpm, dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 15.7 liter. Spesifikasi lain termasuklah fork depan jenis terbalik, suspensi belakang berkembar, sistem brek cakera dengan dengan ABS Dual Channel, dan sepasang tayar bersaiz 100/90-19 dan 150/80-16.

Royal Enfield Super Meteor 650 mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 740 mm, dan beratnya 241 kg (kerb weight). Melengkapkannya ialah gabungan meter analog dan digital, serta lampu depan LED. Untuk anda yang berminat, tempahan untuk model tersebut kini telah dibuka oleh Royal Enfield Malaysia. Anggaran harga jualannya pula setakat ini dijangka akan ditawarkan di bawah RM 40k.