Benelli TRK 702 X 2023 kini di pasaran Eropah, untuk aksi pengembaraan lebih lasak

Selepas model adventure jalanan Benelli TRK 702 2023, turut ditawarkan di pasaran Eropah ialah model adventure off-road yang lebih lasak iaitu Benelli TRK 702 X 2023. Kedua-dua model itu tampil dengan gaya rekaan yang sama, namun mempunyai beberapa perbezaan yang tersendiri.

Antaranya ialah TRK 702 X dilengkapi rim roda berjejari (aluminium alloy with iron spokes) berukuran 110/80-R19 dan 150/70-R17, dengan balutan tayar Pirelli Scorpion Rally STR. Suspensi monoshock pada bahagian belakangnya pula mempunyai travel 173 mm, berbanding 154 mm pada TRK 702.

Turut melengkapi Benelli TRK 702 X 2023 ialah tongkat tengah. Tempat duduknya mempunyai paras ketinggian 836 mm, berbanding 790 mm pada Benelli TRK 702 2023. Jarak kelegaan tanah TRK 702 X juga lebih luas, iaitu 205 mm berbanding 175 mm pada TRK 702. Beratnya mencapai 218 kg.

Spesifikasi lain adalah sama, seperti enjin 698cc (In line 2 cylinders, liquid cooled, DOHC), transmisi enam kelajuan, dan kuasa 70hp @ 8,000rpm dengan tork 70Nm @ 6,000rpm. Selain itu ialah tangki petrol 20 liter, sistem lampu LED, dan panel TFT 5.0 inci dengan ciri sambungan ke telefon pintar.

Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada maklumat sama ada Benelli 702 dan Benelli 702 X ini akan dilancarkan oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. Namun dijangkakan kedua-dua model sporty dan berkuasa itu akan dibawa masuk, mungkin pada tahun depan, atas permintaan peminat.