Sport bike pertama Aveta bakal dilancarkan di pasaran Malaysia, pada Januari 2023

Sekitar bulan Ogos 2022 yang lepas, Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. telah rasmi mengumumkan bahawa syarikat pengeluar motosikal tempatan itu akan melancarkan beberapa buah model baharu pada tahun 2023. Terkini menurut sumber yang boleh dipercayai, Aveta bakal melancarkan sebuah model sport bike terbaharu dengan enjin 250cc, pada pertengahan Januari 2023 akan datang.

Antara maklumat yang turut didedahkan ialah model tersebut merupakan versi pemasangan secara tempatan atau CKD, dan harganya dikatakan berada di bawah RM 20,000.00. Setakat ini maklumat mengenai reka bentuk model tersebut masih belum diketahui, namun dijangkakan gaya rekaannya tidak akan jauh berbeza seperti model-model sport bike yang lain, contohnya Modenas Ninja 250.

Dengan pelancaran model sport bike terbaharu itu nanti, bermakna Aveta bukanlah hanya sebuah syarikat yang menumpukan kepada penawaran model-model kapcai dan moped sahaja. Sebaliknya syarikat tersebut berani untuk bersaing dengan jenama-jenama pengeluar motosikal terkenal yang lain. Jadi, apa pendapat anda mengenai pelancaran model sport bike terbaharu keluaran Aveta itu?