Boon Siew Honda hari ini rasmi melancarkan model terbaharu Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2022 untuk pasaran Malaysia. Model kembara itu tampil dengan pilihan warna Pearl Glare White Tricolour, bersama-sama grafik ‘Cracked Terrain’ yang sporty. Harga jualan asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 117,888.00 sahaja.
Melihat ke bahagian enjinnya, ianya berkapasiti 1,084cc (SOHC, liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve Parallel Twin with 270° crank and Uni-cam) dan patuh piawaian Euro 5, dengan keluaran kuasa maksimum 100.5hp @ 7,500rpm dan tork setinggi 105Nm @ 6,250rpm. Untuk pasaran Malaysia, hanya transmisi DCT enam kelajuan sahaja yang ditawarkan.
Honda Africa Twin Adventure Sports 2022 turut mempunyai kelengkapan unit IMU (six-axis Inertial Measurement Unit) yang mengawal mod tunggangan (Tour, Urban, Gravel, Off-Road, User 1 & 2), HSTC (Honda Selectable Torque Control), Cornering ABS (with off-road setting), Wheelie Control, Rear Lift Control dan juga DCT cornering detection.
Jentera penjelajah jarak jauh itu seterusnya dilengkapi skrin sesentuh 6.5 inci TFT MID (Multi Information Display) berwarna sepenuhnya, dengan sambungan teknologi Apple CarPlay, Bluetooth dan Android Auto. Sistem lampu semuanya LED, termasuklah lampu DRL (Dual LED Daytime Running Lights) yang meningkatkan tahap keselamatannya.
Spesifikasi lain yang melengkapinya ialah port pengecas USB, Auto Turn Signal Cancel, Heated Grips, sistem Cruise Control, Emergency Stop Signal, sistem brek cakera ABS dengan ciri “selectable ABS MODE with on-road and off-road setting”, tayar depan dan belakang bersaiz 90/90-R21 dan 150/70-R18, dan tinggi tempat duduk 810 / 830 mm.
Honda Africa Twin Adventure Sports 2022 dibekalkan sistem suspensi canggih SHOWA EERA (Electronically Equipped Ride Adjustment) dengan pilihan empat mod lalai SOFT, MID, HARD dan OFF-ROAD, selain mod USER. Kapasiti tangki petrolnya 24.8 liter, dan ianya turut mempunyai sepasang lampu Cornering Lights di bawah lampu utamanya.
Sebagai sebuah model yang menerima naik taraf terkini, jentera adventure itu kini telah dilengkapi sistem DCT (Dual Clutch Transmission) yang diperbaharui semula agar ianya lebih lancar dalam gear pertama dan kedua, skrin boleh laras 5 tahap baharu yang 110 mm lebih rendah, dan penampilan grafik ‘Cracked Terrain’ baharu yang lebih menarik.