Honda ADV250 2023 dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun depan

Model skuter adventure Honda ADV350 2022 telah pun dilancarkan di pasaran Eropah pada November 2021 yang lalu. Kini untuk pasaran ASEAN, model tersebut dilancarkan pula untuk pasaran Thailand pada bulan Mac 2022 yang lepas. Dengan pelancaran itu, ianya mengisi slot di antara Honda ADV150 dan Honda X-ADV di pasaran Thailand.

Imbas kembali spesifikasi teknikalnya, Honda ADV350 dikuasakan enjin dalam sesaran 330cc (Liquid-cooled 4-stroke, 4 valve SOHC single) dengan padanan sistem transmisi automatik CVT. Enjin yang patuh piawaian emisi Euro 5 itu menawarkan keluaran kuasa maksimum 28.83hp @ 7,500rpm, dengan janaan tork maksimum 31.5Nm @ 5,250rpm.

Dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 11.7 liter, tahap kecekapan ekonomi model tersebut menjangkau sehingga 30 km/l (WMTC mode), dengan potensi jarak perjalanan sejauh 340 km+ untuk setangki penuh petrol. Untuk tunggangan yang lebih stabil, enjin Honda ADV350 turut didatangkan teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Honda ADV350 seterusnya dilengkapi fork depan jenis terbalik 37mm, manakala pada bahagian belakangnya ialah sistem suspensi berkembar (remote reservoir rear shocks). Brek cakera depan tunggal 256 mm (2 piston Nissin caliper) digandingkan dengan brek cakera belakang 240 mm (1 piston Nissin caliper), lengkap dengan ABS dual-channel.

Honda ADV350 mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 795 mm, jarak kelegaan bumi 145 mm, dan berat 186 kg (kerb weight). Model tersebut berdiri di atas roda depan dan belakang yang masing-masing mempunyai ukuran 120/70-R15 dan 140/70-R14. Di samping itu, pelbagai ciri-ciri menarik lain turut tersedia untuk skuter versi adventure itu.

Antaranya termasuklah sistem lampu LED, panel meter digital LCD sepenuhnya dengan sistem sambungan Honda Smartphone Voice Control, skrin penghadang angin dengan dua tahap pelarasan, sistem Smart Key, soket pengecas USB Type-C, sistem brek ESS (Emergency Stop Signal), dan ruang barangan seluas 48 liter di bawah tempat duduk.

Untuk pasaran Malaysia, Honda ADV350 mungkin tidak akan dilancarkan. Ini kerana ianya dijangka akan dilancarkan dalam versi Honda ADV250 2023 dengan enjin 250cc. Ianya sama seperti model Honda Forza 350 di pasaran Thailand, dan khususnya untuk pasaran negara kita, Boon Siew Honda telah menawarkan model Honda Forza 250.