KPN saran motosikal moped berprestasi tinggi diharamkan di Malaysia, dikatakan punca peningkatan kadar kemalangan

Perhatian kepada semua pemilik motosikal moped di pasaran Malaysia, terutamanya kepada pemilik model Suzuki Raider R150 Fi, Yamaha Y16ZR dan juga SYM VF3i 185. Menurut laporan terkini daripada laman berita Free Malaysia Today hari ini, Ketua Polis Negara (KPN) iaitu Acryl Sani Abdullah Sani telah pun melahirkan kebimbangan beliau terhadap lambakan motosikal “kapcai” lincah dan berprestasi tinggi sejak akhir-akhir ini.

‘Kapcai’ yang dimaksudkan oleh KPN itu pastinya merujuk kepada model-model moped di pasaran Malaysia, contohnya Suzuki Raider R150 Fi 2022 yang mampu merekodkan kelajuan maksimum sehingga 165 km/j dalam keadaan standard. Justeru itu, KPN telah menyarankan agar motosikal kapcai @ moped berprestasi tinggi diharamkan jualannya, dengan alasan motosikal jenis itu ialah punca kepada peningkatan kadar kemalangan.

Berikut ialah petikan daripada laporan yang disiarkan oleh FMT :

Saranan Acryl Sani itu adalah susulan pendedahan beberapa portal berita automotif tempatan yang melaporkan keterujaan peminat permotoran terhadap motosikal tersebut.

Ia selepas tersebarnya video mengenai model keluaran terbaru, iaitu Suzuki Raider R150 Fi, juga dikenali dalam kalangan peminat motosikal sebagai ‘Si Belang’, yang mencecah kelajuan 177 km/j melalui ujian terkini mesin “dyno”.

“Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia (kerana) tidak ada relevensi kelajuan 177 km/j di jalan raya sedangkan had laju maksimum adalah 110 km/j (di lebuh raya),” tegas Acryl Sani.

Menerusi ujian teliti pada mesin “dyno”, motosikal kapcai yang dipasarkan dengan harga RM8,173 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) itu, menunjukkan ‘Si Belang’ mampu merekodkan kelajuan maksimum antara 150 km/j hingga 160 km/j.

Saranan daripada KPN itu sememangnya mempunyai alasan dan sebab-sebab yang kukuh. Namun, adakah pihak kerajaan Malaysia akan bersetuju dengan saranan serta cadangan tersebut, yang pastinya akan mengundang kontroversi. Apa pula pendapat dan pandangan semua peminat motosikal tempatan mengenai saranan pengharaman itu? Adakah selepas ini kita semua hanya akan menunggang kapcai di bawah 50cc?

Sumber : Free Malaysia Today