Honda Wave 110i 2022 di pasaran Thailand terima kemaskini warna dan grafik baharu

Untuk pasaran Thailand, Honda sejak tahun lepas telah memperkenalkan model kapcai terbaharu Honda Wave 110i 2021, yang tampil dengan beberapa naik taraf terkini yang cukup menarik. Kini untuk tahun 2022, model tersebut telah diperkenalkan semula baru-baru ini, tampil dengan kemaskini warna dan grafik baharu yang kelihatan lebih segar.

Honda Wave 110i 2022 di pasaran Thailand boleh dimiliki dengan harga jualan bermula dari 36,900 THB, bersamaan RM 4,636.74 sahaja. Adalah sangat menarik sebenarnya jika model kapcai ini turut dilancarkan di pasaran Malaysia, terutamanya jika ianya bakal menggantikan model Honda Wave Alpha. Berikut ialah antara sebab-sebab utamanya.

Antaranya ialah Honda Wave 110i 2022 dilengkapi enjin baharu Honda Smart Engine yang lebih ekonomi, lebih berprestasi dan lebih pantas, serta lebih berdaya tahan. Enjin 109.5cc (4-stroke, SOHC, Fuel Injection System PGM-FI, Air-cooled) itu dipadankan kotak gear empat kelajuan, dengan tahap ekonomi pada kadar sehingga 76.9 km / liter.

Lebih menarik lagi ialah model berkenaan dilengkapi tangki bahan api yang lebih besar sehingga 5.0 liter, berbanding 3.7 liter untuk model Honda Wave Alpha. Ruang untuk menempatkan barang-barang peribadi di bawah tempat duduk juga kini hadir lebih luas, meningkat kepada 10 liter berbanding model sebelumnya yang berkeluasan 7.4 liter.

Selain itu, panel meter Honda Wave 110i 2022 juga tampil menarik dengan gabungan teknologi paparan digital LCD. Ianya memberikan informasi yang lengkap seperti posisi gear, kuantiti bahan api dan jarak perjalanan keseluruhan. Seterusnya lampu utama di bahagian depan dengan LED yang terang menambahkan lagi keyakinan tunggangan.

Selain itu walaupun reka bentuk Honda Wave 110i 2022 ini kelihatan sederhana, namun ianya tetap kelihatan moden dan menepati citarasa kebanyakan pengguna motosikal di Malaysia. Setakat ini masih belum ada sebarang maklumat rasmi, sama ada Boon Siew Honda akan turut melancarkan model kapcai generasi baharu ini di pasaran Malaysia.