Yamaha baru-baru ini memperkenalkan empat buah model istimewa dalam skim warna World GP 60th Anniversary, iaitu Yamaha R1, R7, R3 dan R125 bagi model tahun 2022. Keempat-empat model berkenaan tampil dengan skim warna ikonik bagi memperingati sambutan ulangtahun kali ke-60 Yamaha dalam perlumbaan MotoGP (1961 – 2021).
Bagi model Yamaha YZF-R125 World GP 60th Anniversary 2022, model tersebut hanya ditawarkan untuk pasaran Eropah sahaja. Bagaimanapun tidak pasti jika model tersebut dengan enjin 155cc yang ditawarkan di pasaran ASEAN, India dan Australia akan turut menerima skim warna World GP 60th Anniversary yang sememangnya cukup sporty itu.
Menurut Yamaha, ciri-ciri utama pada model World GP 60th Anniversary ialah kemasan warna badan putih dan grafik blok merah, emblem 60th Anniversary, jalur merah di atas tangki bahan api dan ekor, fender depan berwarna merah, plat nombor depan berwarna kuning dan rim berwarna emas. Spesifikasi teknikal pula tiada sebarang perubahan.
Antara ciri-ciri teknikal yang melengkapi Yamaha YZF-R125 World GP 60th Anniversary 2022 termasuklah enjin 125cc VVA Euro 5, kerangka deltabox, lengan ayun aluminium yang ringan, Assist & Slipper Clutch, lampu depan LED berkembar, tangki bahan api 11 liter, panel instrumen LCD yang terang, dan tayar belakang dengan kelebaran 140 mm.
Untuk pasaran Eropah, Yamaha YZF-R125 World GP 60th Anniversary 2022 bakal tiba secara rasmi mulai bulan November 2021 akan datang. Untuk pasaran Malaysia, ketika ini belum dapat dipastikan sama ada model Yamaha YZF-R15 akan turut diperkenalkan dalam pilihan skim warna World GP 60th Anniversary seperti di pasaran Eropah ini.