BMW M 1000 RR 2021 kini di pasaran Malaysia, harga asas RM 249,500.00

BMW Motorrad Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan model BMW M 1000 RR 2021 untuk pasaran tempatan. Didatangkan dalam kemasan warna putih, biru dan juga merah (M RR Light White / M Motorsport), harga yang ditawarkan untuk jentera ekstrem tersebut ialah sebanyak RM 249,500.00 (harga jualan asas tidak termasuk insuran).

BMW M 1000 RR diasaskan daripada model BMW S 1000 RR. Dilengkapi enjin 999cc (water/oil-cooled, 4-cylinder with 4-stroke in-line engine, four titanium valves per cylinder and BMW ShiftCam) dengan padanan transmisi enam kelajuan, kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 212hp @ 14,500rpm, dengan tork puncak 113Nm @ 11,000rpm.

Menurut BMW Motorrad, model yang juga dikenali dengan nama singkatan BMW M RR itu mampu mencapai tahap putaran enjin yang lebih tinggi, antara 6,000rpm sehingga 15,100rpm, berbanding BMW S 1000 RR. Ini bermakna jentera itu bukan sahaja relevan untuk prestasi di litar, malah tidak akan mengurangkan kualiti untuk tunggangan harian.

Melalui penggunaan winglet yang diperbuat daripada bahan jenis gentian karbon (clear-coat carbon), BMW M RR berjaya memastikan tayarnya sentiasa melekat di permukaan jalan, terutamanya ketika memulakan pecutan. Winglet juga memberikan kesan ketara dalam meningkatkan kestabilan jentera ketika mengambil selekoh dan ketika membrek.

BMW M RR merupakan motosikal BMW Motorrad pertama yang menggunakan sistem brek M, yang dibangunkan melalui pengalaman di dalam perlumbaan Superbike World Championship. Dengan rim karbon M pula, telah menjadikannya model yang dilengkapi pelbagai komponen berteknologi tinggi untuk prestasi maksimum di litar dan di jalanan.

BMW M RR turut dilengkapi sistem ekzos yang ringan daripada titanium, pilihan tujuh mod tunggangan (Rain, Road, Dynamic, Race, Race Pro 1-3), sistem elektronik seperti Dynamic Traction Control (DTC), Gear Shift Assistant Pro, Launch Control, Pit-Lane-Limiter, Hill Start Control Pro, Wheelie Control, Slide Control, dan juga Cruise Control.

Sama seperti S 1000 RR, kluster instrumen BMW M RR mempunyai asas rekaan yang serupa. Kod pengaktifan yang ditawarkan daripada pakej M competition, membolehkan penyediaan bahan data yang komprehensif untuk kegunaan M GPS laptrigger dan juga M GPS data logger, melalui paparan pada antaramuka OBD kluster instrumen tersebut.

Pakej M competetition ditawarkan untuk mereka yang masih tidak berpuas hati dengan kelengkapan standard BMW M RR. Ianya merangkumi pakej alat ganti M, pakej karbon M serta lengan ayun perak yang kini 220 gram lebih ringan, geseren dioptimumkan, dan juga termasuklah rantai M Endurance bersalut DLC yang bebas penyelenggaraan.

Akhir sekali, tidak lengkap rasanya artikel mengenai model BMW M RR 2021 ini, tanpa perincian mengenai beberapa spesifikasi asasnya. Antaranya kapasiti tangki bahan api maksimum 16.5 liter, saiz roda 120/70-ZR17 dan 200/55-ZR17, tinggi tempat duduk 832 mm, dan mempunyai berat basah hanya 192 kg (M Competition Package : 191.8 kg).