Dalam bulan November 2020 yang lepas, Honda Motor Europe telah memperkenalkan model naked Honda CB125R 2021 untuk pasaran Eropah. Model tersebut menerima dua kemaskini baharu yang menarik iaitu dilengkapi enjin DOHC 4V serba baharu dan fork depan jenis terbalik SFF-BP (Showa Separate Function front Fork Big Piston).
Kini untuk pasaran Jepun, model tersebut telah diperkenalkan pada kelmarin, dan akan berada di pasaran domestik Jepun secara rasmi mulai tarikh 22hb. April 2021. Pilihan warna yang ditawarkan untuk model tersebut ialah tiga kesemuanya, dikenali sebagai Mat Gunpowder Black Metallic, Pearl Smoky Gray dan Candy Chromosphere Red.
Honda CB125R 2021 dikuasakan enjin bersesaran 124cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-valve, DOHC, single cylinder) dengan transmisi enam kelajuan, dan menawarkan kuasa yang lebih tinggi berbanding enjin terdahulu dengan ciri SOHC 2-valve. Keluaran kuasa kini berada pada angka maksimum 15PS @ 10,000rpm dan tork 12Nm @ 8,000rpm.
Perubahan utama baharu seterusnya ialah penggunaan fork depan jenis upside-down yang berprestasi tinggi daripada Showa, dikenali dengan nama ringkas SFF-BP (Showa Separate Function front Fork Big Piston). Honda mengatakan CB125R 2021 menjadi model pertama di dalam segmennya yang menggunakan sistem suspensi berkenaan.
Bersama-sama suspensi tunggal di bahagian belakang dengan lengan ayun yang kuat, ketinggian tempat duduk 815 mm dan berat hanya 130 kg, CB125R 2021 menawarkan corak tunggangan yang lebih selesa dan pengendalian yang lebih ringan. Harga jualan yang ditawarkan untuk model tersebut ialah 473,000 Yen, bersamaan RM 17,836.40.