Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) hari ini dengan rasminya melancarkan model skuter terbaharu Honda ADV150 2021 untuk pasaran Malaysia. Model ini sememangnya sangat dinanti-nantikan, setelah ianya terlebih dahulu dilancarkan di banyak pasaran dunia termasuk Indonesia, Thailand, Singapura, Kemboja, Filipina, Australia dan USA.
Untuk pasaran Malaysia, Honda ADV150 2021 ditawarkan dalam hanya satu varian iaitu varian teratas, yang dilengkapi dengan sistem brek cakera depan dan belakang, lengkap dengan sistem ABS tunggal. Harga jualan asas yang ditetapkan pula adalah sebanyak RM 11,999.00 sahaja (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).
Pilihan warna yang ditawarkan hanya dua iaitu Vivacity Red dan Mat Charcoal Gray Metallic. Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Honda ADV150 2021 dilengkapi enjin eSP (Enhanced Smart Power) berkapasiti 149cc (four-stroke, single cylinder, 2-valve, SOHC, liquid cooled) dengan transmisi automatik V-Matic. Kuasa maksimumnya mencapai paras 14.6hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 13.9Nm @ 6,500rpm.
Ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah panel meter digital LCD sepenuhnya, cermin penghadang angin yang boleh dilaraskan, lampu depan LED dengan lampu DRL yang juga LED, lampu belakang LED dengan lampu ESS (Emergency Stop Signal), sistem Kunci Pintar Honda dan suspensi belakang dengan sub-tangki SHOWA.
Selain itu ianya juga mempunyai ruang simpanan seluas 28 liter di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah topi keledar bermuka penuh dan ruang kompatmen berkeluasan 2 liter di bahagian depan dengan kemudahan port pengecasan 12-volt. Untuk perjalanan yang lebih jauh, tangki petrolnya hadir dalam kapasiti penuh 8.0 liter.
Honda ADV150 2021 mempunyai ketinggian tempat duduk 795 mm, tayar depan dan belakang dengan ukuran masing-masing 110/80-R14 dan 130/70-R13, dan berat tanpa muatan 133 kg. Secara keseluruhannya, pakej yang ditawarkan oleh Honda ADV150 2021 ini sangat berbaloi, apatah lagi harga yang ditawarkannya sangat berpatutan.