Bimota Tesi H2 Carbon 2021 diperkenalkan, hadir dengan penampilan lebih memukau dan eksklusif

Sejak tahun 2019, model unik dan luar biasa Bimota Tesi H2 sentiasa menarik perhatian ramai peminat motosikal di seluruh dunia. Sebelum ini model berkenaan diperkenalkan dalam pilihan warna tunggal yang didominasi oleh warna putih dan merah, namun kini ianya telah berubah dengan pengenalan warna baharu versi Carbon yang lebih gelap.

Bimota Tesi H2 Carbon mempunyai spesifikasi yang sama dengan model standard, dan perbezaan di antara kedua-duanya hanyalah melibatkan kemaskini skim warna yang berbeza sahaja. Sudah tentu penampilan Bimota Tesi H2 Carbon kelihatan lebih agresif, memukau dan eksklusif, dengan penampilan keseluruhan yang kini berwarna hitam.

Menurut maklumat dari Visordown.com, Bimota Tesi H2 bakal menjengah pasaran UK dan Eropah mulai bulan Mac 2021, dengan tanda harga yang ditawarkan bermula dari 64,000 Euro (bersamaan dengan nilai RM 313,251.66). Kedua-dua versi Bimota Tesi H2 akan dikeluarkan sebagai model edisi terhad dengan nombor siri masing-masing.

Aspek spesifikasi memperlihatkan Bimota Tesi H2 dikuasakan enjin bersesaran 998cc (4 stroke, 4-cyl, DOHC, W/C, supercharged / DOHC 4 valve) dengan transmisi enam kelajuan. Enjin berprestasi tinggi itu menghamburkan kuasa maksimum setinggi 231PS @ 11,500rpm (242PS dengan Ram Air) dengan tork maksimum 141Nm @ 11,000rpm.

Spesifikasi lain termasuklah ketinggian tempat duduk 840 mm (+/- 10 mm), tangki bahan api 17 liter, suspensi depan dan belakang ‘Billet aluminum alloy swingarm’, brek cakera depan berkembar 330 mm, brek belakang tunggal 220 mm, tayar depan 120 / 70Z R17, tayar belakang 200 / 55Z R17, dan berat motosikal 207 kg (dry weight).

Ciri unik Bimota Tesi H2 ini seperti mana yang dapat dilihat ialah kelengkapan sistem hub-center steering yang sememangnya sukar dilihat pada model-model motosikal masa kini. Untuk anda yang mungkin belum tahu, Bimota Tesi H2 dihasilkan dengan kerjasama Kawasaki dan ianya menggunakan enjin supercas milik model Kawasaki H2.

Galeri : 2021 Bimota Tesi H2 Carbon

Galeri : 2021 Bimota Tesi H2