Moto S450RR 2021 kini tampil dengan pilihan warna lebih menarik, versi klon model BMW S1000RR

Pada bulan September 2020 yang lalu, dunia permotoran dikejutkan dengan kehadiran sebuah model motosikal baharu buatan China, dengan penampilan mirip model terkenal BMW S1000RR. Model yang bertaraf klon tersebut ketika itu muncul dalam satu pilihan warna sahaja, namun kini ianya didatangkan dengan beberapa pilihan warna lain.

Untuk musim 2021, model sport bike yang dikenali dengan nama Moto S450RR itu kini boleh didapati dalam empat skim pilihan warna yang menarik, seperti mana anda boleh saksikannya dalam galeri di bawah. Spesifikasi enjinnya pula berdasarkan maklumat di dalam paparan yang disediakan, bermula dengan kapasiti 150cc sehingga ke 400cc.

Oleh kerana model ini menjadi viral sehingga ke benua Eropah sewaktu ianya muncul dahulu, pihak BMW Motorrad sendiri dikatakan telah mengeluarkan kenyataan untuk menjalankan siasatan berkenaan model tersebut. Namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan lanjut, bermakna tiada apa yang dapat dilakukan oleh BMW Motorrad.

Motosikal klon buatan China boleh dikatakan kebal, mungkin kerana tiada peruntukan undang-undang yang sesuai untuk membolehkan tindakan diambil. Ini kerana mereka hanya meniru daripada segi rekaan sahaja, manakala teknologi yang digunakan sangat jauh berbeza. Begitu juga dengan kualiti yang ditawarkan, berbeza dengan model asal.

Sama seperti model-model motosikal bertaraf klon yang lain, Moto S450RR 2021 ketika ini rancak ditawarkan untuk jualan melalui laman sesawang jual beli popular, antaranya ialah Alibaba dan Made In China. Mana-mana syarikat yang berminat untuk menjualnya di mana-mana pasaran dunia termasuk Malaysia, boleh membuat tempahan segera.