Zontes 125-G1 2021 dilengkapi enjin 125cc bertaraf Euro 5, tangki petrol 20 liter untuk jarak perjalanan 1,000 km

Pasaran Eropah terkenal dengan model-model motosikal dalam segmen 125cc, antara yang terbaharu ditawarkan ketika ini ialah Zontes 125-G1 2021 yang dilancarkan pada penghujung tahun lepas. Model tersebut hadir sebagai sebuah model cafe racer dengan gaya retro yang sporty dan menawan, di samping spesifikasi dan ciri-ciri yang menarik.

Enjinnya bersesaran 124.7cc dengan sistem suntikan bahan api dan sistem penyejukan jenis cecair, serta telah menerima penarafan piawaian emisi Euro 5. Enjin satu silinder buatan aloi aluminium itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum 14.7PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 13Nm @ 7,000rpm.

Untuk tunggangan yang lebih mudah, Zontes 125-G1 turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Antara ciri paling menarik untuk model seberat 138 kg (load weight) ini ialah tangki bahan apinya mempunyai kapasiti muatan penuh 20 liter, memberikannya jaminan jarak perjalanan dalam anggaran 1,000 km, sebelum ianya perlu diisi semula.

Sistem suspensi Zontes 125-G1 juga tidak kurang hebatnya, apabila fork depan USD digandingkan bersama-sama suspensi belakang jenis monoshock dengan lengan ayun buatan aluminium yang sangat ringan. Sistem brek cakera dengan teknologi Bosch ABS dual channel seterusnya melengkapkan aspek keselamatan untuk model berkenaan.

Di bahagian roda, Zontes 125-G1 dilengkapi rim aloi aluminium yang ringan dengan gaya rekaan sporty, yang kemudiannya dibalut tayar berukuran 110/70-R17 di bahagian depan dan 130/70-R17 di bahagian belakang. Tayar dalam segmen ‘all-terrain’ yang digunakan itu berdaya tahan dan lasak, serta mampu meredah semua jenis laluan.

Melengkapkan spesifikasi dan ciri-ciri teknikal Zontes 125-G1 ialah sistem lampu LED sepenuhnya, paparan intsrumen digital LCD, port pengecas USB berkembar dengan ciri pengecasan pantas dan tempat duduk dengan kontur yang tersendiri. Untuk pasaran Eropah, harga jualan yang ditawarkan ialah 2,790.00 Euro, bersamaan RM 13,753.94.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?