Akhirnya teka-teki mengenai tarikh pelancaran sebenar Honda CBR250RR 2021 untuk pasaran Malaysia kini telah terjawab. Laman Facebook rasmi Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) kelmarin telah pun memaparkan imej teaser mengenai pelancaran sebuah model terbaharu yang bakal berlangsung pada tarikh 18hb. Disember 2020.
Melalui paparan imej tersebut, terdapat bayangan sebuah model motosikal yang sangat dikenali, tidak lain dan tidak bukan ialah Honda CBR250RR 2021. Jentera dengan gaya rekaan sporty dan agresif itu hadir dengan enjin dua silinder 250cc, dan menghasilkan kuasa maksimum 41PS @ 13,000rpm dengan tork maksimum 25Nm @ 11,000rpm.
Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan, serta turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch dan Quick Shifter. Selain itu ianya juga dilengkapi sistem pendikit Throttle-By-Wire dan suspensi depan yang telah dinaik taraf semula, manakala kelajuan maksimum jentera sport bike itu dikatakan mampu mencapai 180 km/j.
Honda CBR250RR 2021 juga memiliki ciri-ciri seperti Riding Mode (Comfort, Sport, Sport+), panel meter digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan upside-down dan sistem brek cakera dengan ABS dua saluran. Harga yang bakal ditawarkan pula dikatakan sekitar RM 29k, pastinya sangat berbaloi dengan apa yang ditawarkan.
Pada masa yang sama tempahan untuk Honda CBR250RR 2021 juga telah dibuka. Untuk anda yang berminat, tempahan boleh dibuat di mana-mana cawangan pengedar sah BSH, termasuk melalui cawangan pengedar Honda BigBike dan Honda Impian X. Kita nantikan pelancarannya, pada jam 8.00 malam, secara live di Facebook BSH.