Web Analytics
Suzuki FC110 dilengkapi enjin 110cc 4-lejang, pernah ditawarkan di pasaran Malaysia – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Suzuki FC110 dilengkapi enjin 110cc 4-lejang, pernah ditawarkan di pasaran Malaysia

Suzuki FC110 yang dilengkapi enjin empat lejang ini boleh dikatakan sebagai sebuah model motosikal kapcai yang amat jarang dijumpai. Malah rasanya tidak keterlaluan jika dikatakan ramai yang tidak menyedari kehadiran motosikal ini di pasaran tempatan suatu ketika dahulu, malah mungkin juga tidak pernah mendengar namanya.

Berdasarkan maklumat daripada akhbar Berita Harian bertarikh 15hb. Disember 2001, Suzuki FC110 dilancarkan oleh pengedarnya Lion Suzuki Marketing Sdn. Bhd. (Lion Suzuki) pada tahun 2001. Tampil unik, rekaan badannya sama seperti model Suzuki RC100, manakala rekaan di bahagian kepalanya mirip model Suzuki Best 110.

Bagi model yang dipaparkan di dalam galeri di bawah, ianya merupakan keluaran tahun 2001, masih lagi hampir dalam keadaan asal 100 peratus tanpa sebarang modifikasi. Jika diperhatikan dengan teliti, enjinnya mempunyai persamaan dengan enjin yang digunakan pada model Suzuki GSX110 yang muncul di pasaran tempatan lebih awal.

Suzuki FC110 dikatakan balik ke konsep asal, sebagai memenuhi permintaan pasaran yang inginkan motosikal yang mampu dimiliki, menjimatkan, senang diselenggara, lasak, boleh dipercayai dan mesra alam. Tiada maklumat lanjut mengenai harga jualannya sewaktu dilancarkan dahulu, namun pasti ianya sangat kompetetif.

 
Arena Motosikal © 2023