Yamaha RX-Z 135 Catalyzer model tahun 2011, dijual pada harga asas RM 7,504.00 sahaja

Setelah lebih tiga dekad berlalu sejak ianya mula dilancarkan di pasaran Malaysia, Yamaha RX-Z 135 sehingga kini masih kekal popular dan terus diminati ramai. Jadi tidak hairanlah ada pihak yang menawarkan model tersebut pada harga mencecah puluhan ribu ringgit, sama ada untuk versi baharu atau pun untuk versi terpakai.

Kita imbas kembali harga Yamaha RX-Z 135 Catalyzer versi NOS (New Old Stock) yang diiklankan untuk dijual pada tahun 2017, pada harga sebanyak RM 35,000.00. Harga yang ditawarkan itu sememangnya menjadi bualan hangat di media sosial serta di akhbar tempatan pada ketika itu, malah ramai yang seakan-akan tidak percaya.

Malah baru-baru ini sebuah model Yamaha RX-Z 135 versi Millenium yang telah dibaik pulih semula, ditawarkan pada harga RM 70,000.00. Kali ini bukan saja ramai yang tidak percaya, malah harga tersebut dirasakan tidak masuk akal. Namun itulah hakikatnya harga sebuah model Yamaha RX-Z 135 yang menjadi kegilaan ramai.

Namun pernahkah anda terfikir berapakah harga runcit yang ditawarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) untuk sebuah model baharu Yamaha RX-Z 135 versi Catalyzer pada tahun 2011? Tahun 2011 sebenarnya merupakan tahun akhir pengeluaran model berkenaan, sebelum dihentikan untuk selama-lamanya.

Berdasarkan maklumat di dalam laman sesawang HLYM pada awal tahun 2012, harga asas yang ditawarkan untuk Yamaha RX-Z 135 Catalyzer model tahun 2011 adalah sebanyak RM 7,504.00 sahaja. Sama ada maklumat ini tepat atau tidak, anda boleh melihatnya sendiri melalui paparan laman sesawang HLYM dalam galeri di bawah.

Mungkin ramai yang berasa menyesal kerana tidak membeli model ini sewaktu ianya masih ada di pasaran suatu ketika dahulu, jika tidak keuntungan hasil jualan semula tentu berlipat kali ganda. Apa yang pasti, Yamaha RX-Z 135 kekal berada dalam kelasnya yang tersendiri, dan kekal menjadi buruan ramai peminat setianya.

Galeri : 1989 Yamaha RX-Z 135 6-Speed