Bimota Tesi H2 dihasilkan dengan kerjasama Kawasaki

Sewaktu pameran EICMA 2019 dalam bulan November yang lepas, Bimota telah membuat kejutan apabila hadir dengan model terbaharu yang dikenali dengan nama Tesi H2. Lebih mengejutkan ialah pada masa yang sama Kawasaki telah mengesahkan bahawa mereka telah membeli saham syarikat dari Itali itu sebanyak 49.9 peratus.

Mungkin ini berita paling menggembirakan untuk peminat Bimota, kerana syarikat tersebut kini diselamatkan oleh salah sebuah jenama motosikal terbesar dunia dari Jepun. Pada masa yang sama, kemunculan Tesi H2 juga mendapat pujian daripada ramai peminat dan juga pihak media.

Berdasarkan maklumat awal, Bimota Tesi H2 dibangunkan menggunakan casis Tesi dan teknologi milik Bimota, yang kemudiannya digabungkan dengan kepakaran Kawasaki, terutamanya enjin supercas daripada model Ninja H2. Paling menonjol ialah Tesi H2 dilengkapi sistem hub-center steering yang secara umumnya adalah unik dan amat jarang digunakan oleh pengeluar motosikal yang lain.

Setakat ini selain daripada model Tesi H2, Bimota juga dilaporkan sedang membangunkan model terbaharu KB4 yang lebih bercirikan gaya klasik. Dalam masa beberapa bulan lagi, dijangkakan lebih banyak berita mengenai model ini akan dikeluarkan, termasuk paparan gambar-gambarnya yang telah siap dibangunkan.