Kawasaki ZZR-250 model tahun 2006 (EX250H)

Pada era tahun 1990an, Kawasaki ZZR-250 ini antara model sportbike popular yang menjadi pilihan penunggang kelas 250cc pada ketika itu. Berdasarkan maklumat yang ada, pengeluaran model ini bermula pada tahun 1990 dan berakhir pada tahun 2007.

Antara kelebihan model ini ialah ianya dikuasakan enjin dua silinder sebaris 248cc dengan 8-injap, dilengkapi sistem penyejukan cecair, seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dikeluarkan daripada enjinnya berada pada paras sekitar 36hp @ 12,000rpm dengan tork setinggi 21.6Nm @ 9,500rpm.

Selain itu, Kawasaki ZZR-250 mempunyai kerangka perimeter aluminium yang menawarkan ciri kawalan tunggangan sporty, suspensi belakang Uni-Trak, fork depan 37 mm yang kukuh dan brek cakera berlubang untuk penyejukan yang lebih efektif.

Kelengkapan lain termasuklah paparan instrumen analog yang komprehensif, tongkat tengah standard, tuas brek dan klac boleh laras, penampilan dua ekzos yang menyerlah dan sudah pastinya fairing badan penuh dengan integrasi lampu signal yang tersendiri.

Kawasaki ZZR-250 didatangkan dengan tangki bahan api dengan isian maksimum 18 liter, tayar depan dalam siri 100/80-17, tayar belakang dalam siri 140/70-17, jarak roda 1,405 mm, ketinggian tempat duduk 760 mm dan berat kering 146 kilogram.