SYM DRG BT merupakan sebuah model skuter baharu keluaran syarikat SYM dari Taiwan, diperkenalkan buat pertama kali di EICMA 2019 dalam bulan November yang lepas. Untuk pasaran Greece, ianya dikenali dengan nama SYM DRG 160, manakala untuk pasaran Jepun dan Taiwan, ianya masih mengekalkan nama SYM DRG BT.
SYM DRG BT model tahun 2020 ini menampilkan banyak ciri-ciri menarik, antaranya reka bentuk kompak yang ranggi dan bergaya, teknologi lampu LED di bahagian depan dan belakang, panel instrumen LED dengan ciri Auto-Dimmer, suis lampu kecemasan, ruang barangan yang luas di bawah kusyen, pengecas USB dan brek cakera depan 260 mm dan belakang 230 mm, masing-masing dilengkapi dengan sistem brek ABS.
Spesifikasi berteknologi tinggi yang lain termasuklah Z.R.S.G. (Zero-Resistance Starter & Generator), A.L.E.H. (Anti-Lift Engine Hanger System) dan ECO Friendly Start-Stop Systems. SYM DRG BT dilengkapi enjin 158cc (4-stroke engine, single cylinder) dengan sistem penyejukan cecair dan E.F.I, seterusnya dipadankan transmisi C.V.T.
Enjin patuh piawaian emisi standard Euro 4 itu menghasilkan kuasa maksimum 14.6hp (10.92 kW) @ 8,500rpm dengan tork maksimum 15.44Nm @ 5,500rpm. Sementara itu, rim roda dengan diameter 13 inci pada SYM DRG BT dipasangkan tayar dalam siri 120 / 70 – 13 untuk bahagian depan dan 130 / 70 – 13 untuk bahagian belakang.
SYM DRG BT mempunyai dimensi jarak roda 1,380 mm, ketinggian pelana 803 mm, tangki bahan api dengan isian maksimum 7.4 liter dan berat 132 kilogram. Pilihan warna yang ditawarkan empat kesemuanya iaitu putih, hitam, hijau dan kelabu. Harga yang ditawarkan di pasaran Jepun adalah sebanyak 409,000 Yen, sekitar RM 16,500.00.