Yamaha YZF-R125 model tahun 2020 di pasaran Eropah

Untuk pasaran Eropah, Yamaha YZF-R125 merupakan model terkecil di dalam rangkaian R-Series, segmen supersport yang dibarisi oleh model-model seperti YZF-R1M, YZF-R1, YZF-R6 dan YZF-R3. Bermula tahun 2019, Yamaha YZF-R125 serba baharu telah diperkenalkan dengan penampilan dan wajah baharu sepenuhnya.

Untuk musim jualan tahun 2020, YZF-R125 tampil dengan perwatakan yang sama, namun dengan perubahan minor untuk warna Yamaha Blue yang kini ditukarkan kepada warna baharu Icon Blue. Dua warna terdahulu iaitu Competition White dan Tech Black masih ditawarkan seperti biasa. Di pasaran UK, harga untuk YZF-R125 bermula dari £4,674.00, bersamaan RM 24,903.31 mengikut kadar mata wang semasa.

Aspek penampilan memperlihatkan wajah depan YZF-R125 kini hadir dengan sepasang lampu LED bersama-sama rekaan yang agresif, yang kemudiannya diteruskan kepada rekaan lampu belakang juga daripada jenis LED. Menurut Yamaha, DNA perlumbaan R-Series jelas terpancar pada YZF-R125 yang disudahi dengan kemasan premium.

Yamaha YZF-R125 model tahun 2020 dikuasakan enjin bersesaran 124.7cc (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valves) dengan padanan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 15PS @ 9,000rpm dan tork 11.5Nm @ 8,000rpm. Enjin tersebut dilengkapi dengan teknologi VVA (Variable Valve Actuation) yang bukan saja meningkatkan prestasi enjin, malah tahap kecekapan bahan api.

Lebih dari itu, sistem Assist & Slipper Clutch menawarkan operasi klac yang ringan dan mudah untuk kawalan tunggangan maksimum. Untuk pengendalian yang lancar dan mudah dikawal terutamanya pada kelajuan tinggi, peranan tersebut dimainkan oleh kerangka keluli Deltabox bersama-sama lengan ayun aluminium berukuran pendek dan ringan, serta sepasang fork depan jenis upside-down dengan diameter 41 mm.

Kehadiran brek cakera tunggal depan dan belakang masing-masing dengan diameter 292 mm dan 220 mm, menawarkan prestasi pemberhentian yang mantap dan selamat. Yamaha YZF-R125 juga didatangkan dengan rekaan kokpit yang mengambil inspirasi daripada jentera MotoGP YZR-M1, di samping panel instrumen yang mudah dilihat dengan paparan pelbagai informasi penting seperti posisi gear dan shift timing.

Ciri-ciri lain yang melengkapi Yamaha YZF-R125 2020 ini termasuklah posisi tunggangan yang sporty dan selesa, tayar belakang yang lebar dalam siri 140/70-17, ketinggian tempat duduk penunggang 825 mm, jarak kelegaan tanah 155 mm, kapasiti penuh tangki bahan api 11.5 liter dan berat keseluruhan motosikal 142 kg.