Suzuki Burgman 125 2020 skuter bandar yang pintar

Untuk pasaran Eropah, Suzuki Burgman 125 diperkenalkan sebagai sebuah model skuter bandar yang pintar. Ianya dikuasakan enjin 125cc (1-cylinder, liquid-cooled, SOHC, 4-stroke) dengan sistem suntikan bahan api dan transmisi automatik CVT. Kuasa yang dihasilkan mencapai 11PS @ 8,000rpm dengan tork 10Nm @ 6,000rpm.

Dari segi dimensi dan berat, Suzuki Burgman 125 mempunyai ukuran panjang keseluruhan 2,055mm, lebar keseluruhan 740mm, jarak roda 1,465mm, ketinggian tempat duduk 735mm, jarak kelegaan bumi 130mm dan berat 162 kg (kerb mass). Tangki bahan apinya mampu memuatkan isian penuh petrol dengan kapasiti 10.5 liter.

Sistem brek terdiri daripada brek jenis cakera di bahagian depan dan belakang, manakala tayar tanpa tiub depan didatangkan dalam siri 110/90-13M/C 55P dan belakang dalam siri 130/70-12 62P. Sistem suspensi depan ditugaskan kepada fork teleskopik dan di bahagian belakang ialah penyerap hentak jenis berkembar.

Antara kelebihan yang dimiliki oleh Suzuki Burgman 125 ialah terdapatnya dua ruang barangan seluas 7.0 liter di bahagian depan, termasuk kemudahan untuk mengecas peranti elektronik. Di bahagian bawah tempat duduk, ruang barangan yang tersedia adalah lebih luas dengan kapasiti 41 liter, cukup untuk menempatkan dua buah helmet bermuka penuh. Ianya juga dilengkapi lampu untuk kesenangan di waktu malam.

Sementara itu, skrin penghadang angin yang besar menawarkan lebih keselesaan sewaktu tunggangan dan paparan instrumen yang mudah dibaca memberikan pelbagai informasi yang berguna. Untuk pasaran UK, Suzuki Burgman 125 model tahun 2020 dijual pada harga £3,699, bersamaan RM 20,192.22 mengikut kadar tukaran semasa.