Kawasaki Ninja 650 2021 terima kemaskini warna baharu

Selepas model Kawasaki Z400 2021 dan Kawasaki Z650 2021, pasaran Australia turut menerima kemaskini warna baharu untuk model Kawasaki Ninja 650 2021. Model tersebut kini tampil dengan dua pilihan warna baharu iaitu Metallic Graphite Gray with Metallic Spark Black dan Metallic Spark Black with Pearl Nightshade Teal.

Bagi pilihan warna Metallic Graphite Gray with Metallic Spark Black, Ninja 650 2021 didatangkan dalam dua versi iaitu Ninja 650L dan Ninja 650 (Full Power), di mana perbezaan kedua-duanya ialah melalui keluaran jumlah kuasa dan tork. Kapasiti enjin Parallel Twin untuk kedua-dua model tersebut masih sama iaitu bersesaran 649cc.

Ninja 650L menghasilkan kuasa 51PS @ 6,500rpm dengan tork 59Nm @ 6,500rpm, sementara Ninja 650 (Full Power) memiliki kuasa 68PS @ 8,000rpm dan tork 66Nm @ 6,500rpm. Bagi model Ninja 650L SE dengan warna Metallic Spark Black with Pearl Nightshade Teal, jumlah kuasa dan tork yang dimiliki sama seperti model Ninja 650L.

Untuk musim 2021, Kawasaki Ninja 650 didapati tidak mengalami sebarang perubahan teknikal, bermakna ianya masih sama seperti model tahun 2020. Masih menawarkan ciri tunggangan yang ergonomik, mudah dan menyeronokkan, dengan ketinggian tempat duduk hanya 790 mm, tangki bahan api 15 liter dan berat 192 kg (curb mass).

Sistem brek kekal berprestasi dengan sistem ABS, di samping paparan instrumen TFT berwarna, teknologi sambungan telefon pintar, lampu depan dan belakang LED, dan sistem Assist & Slipper Clutch. Untuk pasaran Eropah dan Asia, Kawasaki Ninja 650 2021 dijangka akan menawarkan lebih banyak pilihan warna baharu yang menarik.