Ducati Panigale V4 & V4 S 2020 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga bermula RM 132,900.00

Next Bike Sdn. Bhd. selaku pengedar rasmi motosikal Ducati di pasaran Malaysia, kelmarin dengan rasminya melancarkan Ducati Panigale V4 2020 dan Ducati Panigale V4 S 2020. Kedua-dua model supersport tersebut hadir dengan tanda harga RM 132,900.00 dan RM 172,000.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Ducati Panigale V4 dan V4 S kedua-duanya dilengkapi enjin bersesaran 1,103cc yang menghamburkan kuasa maksimum 214hp @ 13,000rpm dengan tork maksimum 124Nm @ 10,000rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Panigale V4 mempunyai berat kering 175 kg, manakala berat kering V4 S ialah 174 kg.

Untuk model tahun 2020 ini, Panigale V4 dan V4 S telah dilengkapi pakej Aero Sport yang meningkatkan lagi prestasi dan tahap aerodinamik. Bagi model Panigale V4 S, kelebihannya berbanding model Panigale V4 ialah ianya dilengkapi suspensi depan dan belakang daripada Öhlins, yang dikawal secara elektronik oleh sistem Smart EC 2.0.

Lebih dari itu ianya turut dilengkapi steering damper daripada Öhlins, rim roda daripada Marchesini (Marchesini aluminum forged), dan mudguard depan yang berwarna hitam. Sistem brek depan untuk V4 dan V4 S adalah daripada Brembo dengan kaliper Stylema dan cakera berkembar 330 mm, sementara di belakang ialah cakera tunggal 245 mm.

Ducati Panigale V4 2020 dan Ducati Panigale V4 S 2020 ketika ini kekal ditawarkan dalam pilihan warna tunggal merah dengan rim roda berwarna hitam (Ducati Red with Dark Grey frame and black wheels). Untuk makluman, kelmarin Next Bike turut melancarkan model Ducati Panigale V2 2020 dan Ducati Scrambler Icon Dark 2020.