BENDA Napoleon Bob 500 (2024) nampaknya sudah mula memasuki kedai-kedai motosikal di seluruh negara. Ada dua warna – Black dan Grey, harga asas jualan bermula RM27,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Jenama motosikal BENDA diperkenalkan di Malaysia Autoshow 2024 pada bulan Mei di MAEP, Serdang di Selangor. Di Dewan C MAEPS, ada beberapa model motosikal BENDA dipamerkan kepada orang ramai seperti BENDA Dark Flag 500, Napoleon Bob 500, LFS 700 dan LFC 700.
BENDA Napoleon Bob 500 menggunakan enjin 4 strok V-Twin (dua silinder) 475.6cc DOHC 8 injap menjanjikan kuasa maksimum 47hp @ 8,800rpm dan tork sekuat 42Nm @ 6,700rpm.
Motosikal ini menggunakan kaedah penyejukan cecair untuk mengawal kepanasan enjin. Napoleon Bob 500 menggunakan injektor bahan api (FI) untuk semburan petrol ke dalam kebuk pembakaran.
BENDA Napoleon Bob 500 menggunakan kotak gear klac manual dengan 6 kelajuan dan roda belakang akan berpusing dengan tali sawat (belting bukan rantai) dari enjin.
Maklumat dalam dokumen spesifikasinya menunjukkan Napoleon Bob 500 memiliki berat 201kg (dry weight). Napoleon Bob 500 menggunakan tangki minyak 16 liter.
Kuasa menghentikan pusingan rim 16 inci datang dari brek cakera depan 320mm dengan angkup (kaliper) empat piston dan cakera belakang 260mm kaliper dua piston.
Untuk meningkatkan keselamatan penunggang, BENDA Napoleon Bob 500 ditambah teknologi Tempat duduk rendah sedikit iaitu 695mm. Ada Sistem Brek ABS dua saluran (2-channel) dan Traction Control.