
Nama Kymco jadi sebutan sejak seminggu lalu gara-gara berita tentang permohonan dan pendaftaran tanda dagang termasuk logo untuk hak nama CV-X45.
Ada beberapa portal media global menyajikan berita itu dan berpendapat… pengeluar skuter dari Taiwan itu mungkin mahu mengeluarkan CV-X45 pada skala besar-besaran (massa).

Paten Nama Dulu
Mungkin ya, mungkin juga tidak. Pendaftaran tanda dagang tak semestinya bermaksud sesuatu model itu akan dilancarkan nanti.
Adakala, pendaftaran tanda dagang dibuat untuk ‘perlindungan’ nama model (halang pihak lain guna nama sama) di sesuatu pasaran lain.
Kymco Minat Segmen Skuter Adventure?
Kembali kepada cerita CV-X45, adakah Kymco mahu langkah ke dalam segmen skuter adventure secara lebih serius? Selain tawaran skuter ‘adventure crossover’ siri DTX.
Kalau dilihat perkembangan Kymco, mereka agak rajin menunjukkan model konsep dan skuter adventure sebelum ini di Pameran Motosikal Milan (EICMA). Antara contoh boleh diberi ialah:

- Konsep Kymco CV-L6: skuter ADV kacukan maxi enjin 2 silinder 550cc ditayangkan di EICMA 2023

- Konsep Kymco CV-R5: skuter adventure satu silinder 427cc di EICMA 2024

- Kymco X-TERA 350: skuter adventure + urban di EICMA 2025
X-Tera 350 sudah dijual di Filipina dengan nama XCITING X350 dan akan masuk ke beberapa pasaran di negara barat tidak lama lagi.
Apa itu CV-X45?

Berdasarkan laporan portal permotoran CycleWorld, Kymco CV-X45 ialah model yang bakal dihasilkan daripada konsep skuter adventure CV-R5 (2024).
Malah gaya tulisan fizikal (typeface) yang digunakan pada nama CV-X45 dikatakan sama seperti teks logo CV-R5.
Penjelasan diberi tentang nama model CV-X45 ialah:
- Angka 45 mewakili kelas (norminal) 450cc skuter (kapasiti enjin sebenar 427cc)
- ‘X’ ialah gaya model adventure
Antara ciri lain yang mungkin diambil daripada CV-R5 untuk model CV-X45 ialah fork USD dengan jarak travel panjang, pendikit minyak (throttle) jenis pulas dan jalan (twist-and-go) dan lantai rata.
Mungkin akan disertakan beberapa mod tunggangan, throttle ride-by-wire, sistem kemasukan tanpa kunci (keyless), meter TFT dan beberapa ciri teknologi moden termasuk Sistem Pemantauan Tekanan Angin Tayar (TPMS).
Soal enjin masih belum ada bayangan. Adakah akan menggalas enjin satu silinder CV-R5 atau menerima enjin 2-silinder CV-L6?







