
Ada laporan di India menyatakan Yamaha Motor India secara senyap-senyap sudah menamatkan tawaran dua model import (CBU) iaitu Yamaha YZF-R3 dan Yamaha MT-03 di pasaran mereka.
Portal NDTV Auto menyatakan dua model itu masih disiarkan di laman web rasmi Yamaha Motor India tetapi laporan sama mendakwa aktiviti import untuk dua model tersebut sudah dihentikan.
Turut terkandung dalam laporan mereka ialah rangkaian pengedar Yamaha juga tidak memiliki stok untuk kedua-dua model tersebut, sekali gus membawa kepada kesimpulan bahawa kedua-duanya sudah meninggalkan pasaran India.
Dalam perkembangan sama, beberapa portal menyiarkan laporan lain menyatakan Yamaha sudah memfailkan tanda dagang nama YZF-R2 di India. Ini menjadi spekulasi terbaharu bahawa ada model baharu bakal dilancarkan di situ.
Pun begitu, tindakan memfailkan tanda dagang tersebut bukannya pengesahan rasmi model R2 akan dilancarkan. Masih perlu tunggu pengumuman rasmi daripada Yamaha Motor India mengenai statusnya.
Ada beberapa andaian dikemukakan iaitu YZF-R2 dikatakan sportbike fairing penuh dengan enjin 200cc yang akan mengisi ruang antara model R15 dan R3 di India.
Jika ini benar, Yamaha YZF-R2 akan bersaing secara langsung dengan model Hero Karizma XMR dan KTM RC200 di India.
Laporan media lain pula menyatakan Yamaha YZF-R2 dipercayai akan menggantikan tempat R15 di pasaran sana. Andaian ini dikatakan belum tentu benar kerana di India, mereka masih ada ramai peminat R15.

