Apa sebab Honda tukar posisi butang hon dan lampu signal belok?

Lebih 10 tahun susun atur itu ditukar tetapi nampaknya masih ada lagi peminat motosikal jenama Honda masih bertanya:

Mengapa perlu ubah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan kepada ramai penunggang motosikal / skuter?

Soalan ini merujuk kepada satu keputusan tidak dijangka iaitu Honda menyusun semula butang pada konsol kawalan kanan dengan:

  • Menurunkan butang lampu signal belok ke bahagian bawah (tempat butang hon)
  • Menaikkan butang hon ke bahagian tengah konsol kanan (ganti tempat lampu signal belok)

Boleh dikatakan model baharu sama ada skuter dan motosikal berjenama Honda sudah menerapkan susunan baru ini.

Masalah ini mungkin tidak begitu ketara kepada pengguna baru produk Honda untuk orang kebanyakan tetapi lebih ke arah pengguna lama model-model Honda sebelum pengenalan susunan butang baharu.

Memori otot jari ini sudah terbiasa dengan kedudukan lama butang hon dan lampu signal belok. Terlalu biasa sehingga selalu kali tertekan butang hon semasa hendak menyalakan lampu signal.

Bila hendak hon kenderaan lain, tertekan pula butang lampu signal belok. Itulah realitinya yang terpaksa dilalui sebilangan pengguna lama model Honda.

Kami juga mengalami situasi sama semasa menyertai konvoi RS-X Winner OG ke kilang Boon Siew Honda di Pulau Pinang.

Kami sebenarnya masih tidak tau apa yang mendorong Honda untuk terbalikkan kedudukan butang hon dan lampu signal belok. Apa sebabnya, idea siapa dan mengapa?

Salah satu penerangan yang kami jumpa ialah daripada laporan Gridoto:

Ketua Promosi Tunggangan Cara Selamat PT WMS, Agus Sani berkata:

“Berdasarkan kajian yang dijalankan pihak pengeluar (Honda), kedudukan jari tangan di sebelah kiri adalah lebih mudah untuk mencapai butang di bahagian bawah dan ini adalah penyebab mengapa butang lampu signal belok dialihkan ke bawah.”