Corsaro Sport: Moto Morini akan hasilkan sportbike moden enjin V-Twin, siap ada Cruise Control?

moto morini corsaro sport

Moto Morini sedang membuat persiapan untuk memperkenalkan siri motosikal Corsaro ke pasaran Eropah dan Amerika Syarikat, dijangka tahun ini atau awal 2026.

Dalam keluarga Corsaro, ada tiga versi dihasilkan Moto Morini yang membabitkan motosikal kategori naked, sportbike dan juga sport tourer.

Artikel ini akan menumpu kepada motosikal sport yang dinamakan Moto Morini Corsaro Sport dan laporan dua model lain akan dikongsi di pautan (link) berbeza.

Meskipun belum dilancarkan secara rasminya, kru kami akan kongsikan maklumat yang ada mengenai sportbike Moto Morini Corsaro Sport.

Hanya satu warna pilihan disediakan iaitu Fire Red (serba merah) dan model Corsaro Sport dikatakan akan menawarkan prestasi dan bersifat serba boleh (versatil) untuk sebuah sportbike.

Reka bentuk Corsaro Sport dikatakan bersifat inovatif dan menerima teknologi-tekonologi termaju untuk keperluan seorang penunggang. Itu kata Moto Morini.

Apa yang kru kami nampak ialah model sportbike ini memiliki reka bentuk dengan garis badan tajam, meter digital sepenuhnya, sistem pencahayaan LED penuh termasuk lampu DRL dan ada fungsi Cruise Control (kawalan jelajah)?

Apa pun kita tunggu pengumuman rasmi dari Moto Morini. Sementara itu, bawah ini ada spesifikasi sportbike Moto Morini Corsaro Sport:

SPESIFIKASI MOTO MORINI CORSARO SPORT

  • Enjin jenis V-Twin 90° berkapasiti 749cc dengan sistem suntikan bahan api dan sejukan cecair.
  • Gerek x lejang: 90mm x 58,9mm
  • Nisbah mampatan: 13:1
  • Kuasa maksimum: 70.5kW (96hp)
  • Tork maksimum: 77Nm @ 7,500rpm
  • Kelajuan maksimum: lebih 210km/j
  • Frem aluminimum dan keluli komposit
  • Swingarm jenis aluminium
  • Brek depan cakera berkembar 320mm, kaliper monoblok Brembo
  • Brek belakang cakera tunggal 220mm, kaliper Brembo
  • Fork depan USD boleh laras sepenuhnya
  • Absober belakang monoshock
  • Tayar depan: 120/70-R17
  • Tayar belakang: 190/55-R17
  • Panjang: 2,170mm
  • Lebar: 780mm
  • Tinggi: 1,140mm
  • Jarak roda: 1,462mm
  • Tinggi pelana: 840mm
  • Berat: bawah 200kg