Model moped Benelli R18i telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada April 2021 yang lalu, dengan harga jualan asas RM 7,999.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Kelebihan utama model berkenaan sudah tentu enjinnya yang tampil dalam sesaran 174cc, kedua terbesar selepas enjin SYM VF3i yang bersesaran 183cc.
Namun dengan enjin sebesar 174cc itu, mampukah Benelli R18i mencatatkan kelajuan maksimum atau top speed yang bakal memberikan cabaran sengit terhadap beberapa model moped lain, contohnya seperti Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, Yamaha Y16ZR dan Honda RSX? Dan mampukah juga ianya mencabar Suzuki Raider R150Fi nanti?
Berdasarkan ujian kelajuan yang dilakukan oleh YouTuber Nik Rahizal, yang sebelum ini turut melakukan ujian kelajuan model moped WMoto F15, akhirnya kita semua dapat melihat setakat manakah kemampuan sebenar Benelli R18i. Keputusannya ialah model tersebut mencatatkan kelajuan maksimum 140 km/j, atau 127 km/j untuk versi GPS.
Pada pendapat anda, adakah pencapaian kelajuan maksimum yang berjaya dicapai itu agak perlahan? Untuk sesebuah model standard dengan enjin bersesaran 174cc, tidak dapat dinafikan ianya boleh dikatakan agak perlahan. Namun tidaklah terlalu perlahan, sebaliknya hampir sama dengan kelajuan maksimum model-model moped yang lain.
Jika kena dengan beban berat yang bersesuaian dan jumlah rintangan angin yang lebih rendah, dipercayai Benelli R18i itu mampu mencatatkan kelajuan maksimum sehingga 145 km/j, atau mungkin lebih lagi. Untuk kelajuan yang lebih ekstrem, sudah tentu ianya perlu dimodifikasi, bergantung kepada bajet, minat dan juga beberapa faktor yang lain.