Lakaran Kawasaki Ninja ZX-4R dengan enjin 400cc empat silinder, adakah seperti ini penampilannya nanti?

Spekulasi mengenai pembangunan model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-4R yang akan dilengkapi enjin 400cc empat silinder kini semakin bertiup kencang. Menurut maklumat terkini dari negara Jepun, model sportbike sporty dan berprestasi tinggi itu kemungkinan besar bakal dilancarkan secara rasmi oleh Kawasaki pada tahun 2023 atau pun 2024.

Setakat ini belum dapat dipastikan dengan tepat bagaimanakah rekaan dan penampilan model tersebut. Adakah ianya akan menggunakan gaya rekaan model Kawasaki Ninja ZX-25R, atau akan mengambil inspirasi daripada model yang lebih besar seperti model Kawasaki Ninja ZX-10R? Boleh jadi imej lakaran seperti di atas adalah jawapannya.

Imej lakaran komputer Kawasaki Ninja ZX-4R itu sebelum ini telah dipaparkan di dalam laman sesawang autoby.jp, dan dengan pantas ianya menarik perhatian ramai peminat motosikal di seluruh dunia. Skim warna hijau, biru dan putih yang digunakan oleh model tersebut boleh dikatakan bersesuaian, inspirasi daripada jentera KRT WorldSBK 2021.

Kawasaki Ninja ZX-4R ini apabila dilancarkan nanti, sekiranya menjadi kenyataan, tentu akan mempunyai lebih ramai peminat. Bukan sahaja ianya akan ditawarkan di pasaran ASEAN dan Jepun, malah mungkin juga di pasaran Eropah dan Amerika Utara, sebagai pengganti kepada model Kawasaki Ninja ZX-25R yang tidak ditawarkan di rantau sana.

Bagaimanapun untuk lebih kepastian, kita semua perlu menunggu sehinggalah tibanya tahun 2023 atau 2024, kerana Kawasaki begitu bijak sekali menyembunyikan maklumat mengenai pembangunan model terbaharu mereka. Diharapkan jentera Kawasaki Ninja ZX-4R ini bakal menjadi realiti, seterusnya turut dilancarkan di pasaran Malaysia nanti.