QJ Race 350 2021 rasmi dilancarkan di pasaran China, harga bersamaan RM 18,634.60

Sebelum ini dikhabarkan bahawa QJ Motor bakal melancarkan sebuah model sport bike terbaharu dengan enjin 350cc. Akhirnya model yang diperkatakan itu rasmi dilancarkan di pasaran China baru-baru ini, dan dikenali dengan nama QJ Race 350 2021. Model itu hadir dalam dua versi, dengan brek cakera depan jenis tunggal atau jenis berkembar.

Sama ada dengan brek cakera depan tunggal atau berkembar, kedua-dua versi model tersebut dikatakan mempunyai kelebihan masing-masing. Harga yang ditawarkan untuk kedua-duanya pula adalah sama iaitu CNY 28,999, bersamaan RM 18,634.60. QJ Race 350 mempunyai empat pilihan warna kesemuanya, yang tampil sporty dan menyerlah.

Perwatakan enjin model tersebut juga tidak kurang hebatnya, apabila dikuasakan enjin bersesaran 353cc dua silinder dengan sistem penyejukan cecair, sistem suntikan bahan api elektronik dan dipadankan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 36.2hp @ 9,000rpm, dengan tork maksimum 31Nm @ 7,000rpm.

Spesifikasi lain yang melengkapi model berkenaan antaranya termasuklah tangki bahan api 14 liter, panel meter digital TFT, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan terbalik, sistem brek ABS, ketinggian tempat duduk 785 mm, tayar depan dan belakang bersaiz 110/70-R17 dan 150/60-R17, dan berat keseluruhan motosikal yang mencapai 179 kg.