Honda Super Cub 125 generasi terbaharu secara rasminya diperkenalkan di pasaran Eropah sejak tahun 2018 yang lalu. Kini untuk versi tahun 2022, model kapcai tersebut telah menerima beberapa pembaharuan yang lebih moden dan lebih praktikal, dan pada masa yang sama terus mengekalkan gaya rekaannya yang tidak ditelan zaman.
Menurut Honda, Super Cub 125 2022 kini dilengkapi enjin baharu yang lebih berkuasa, lebih lancar dan lebih cekap, serta patuh piawaian emisi Euro 5. Enjin 124cc (air-cooled, SOHC, 4-stroke, 2-valve, PGM-FI) itu kini menjana kuasa maksimum setinggi 9.65hp @ 7,500rpm, dengan tork 10.4Nm @ 6,250rpm. Transmisinya pula masih empat kelajuan.
Dengan kapasiti tangki bahan api maksimum 3.7 liter dan berat motosikal hanya 110 kg (kerb weight), tahap ekonomi penggunaan bahan api Super Cub 125 kini berada pada paras serendah 1.5 liter / 100 km (66.7km/l) (WMTC mode) sahaja. Untuk setiap tangki penuh, ianya dikatakan mampu mencapai perjalanan dalam anggaran sejauh 250 km.
Berbanding model versi sebelumnya, Honda Super Cub 125 2022 kini telah dilengkapi tempat duduk belakang yang didatangkan sebagai ciri standard. Oleh kerana ianya kini mampu membawa pembonceng, fork depan dan penyerak hentak belakang telah dinaik taraf semula, demi meningkatkan lagi kualiti tunggangan dan tahap pengendaliannya.
Honda Super Cub 125 2022 seterusnya dilengkapi brek cakera di bahagian roda depan dengan ABS, brek dram di bahagian roda belakang, sistem lampu LED sepenuhnya dan sistem Smart Key. Tayar depan dan belakang pula masing-masing berukuran 70/90-17 dan 80/90-17, yang kemudiannya membaluti sepasang rim aloi aluminium yang sporty.