Model terbaharu yang menjadi igauan ramai, Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 secara rasminya ditawarkan di pasaran Jepun mulai tarikh 10hb. September 2020. Namun begitu gabungan pemilik model berkenaan tidak menunggu lama untuk mengadakan perjumpaan pertama mereka di Litar Tsukuba pada 22hb. September yang lepas.
Berdasarkan maklumat daripada laman sesawang Kawasaki1ban.com, acara yang berlangsung itu turut disertai oleh beberapa syarikat pengeluar peralatan aftermarket dan aksesori, termasuklah pameran sebuah model Ninja ZX-25R versi custom sepenuhnya. Model tersebut dikatakan telah menjadi tumpuan ramai pengunjung.
Ninja ZX-25R versi custom itu tampil sepenuhnya dengan badan karbon, mirip seperti model Ninja ZX-25R Racer Custom Model yang diperkenalkan pada penghujung Mac 2020 yang lalu. Selain itu ianya turut dilengkapi sistem ekzos Yoshimura, cakera brek daripada Sunstar, sprocket RK, termasuk tuas dan tempat pemijak daripada Sniper.
Sementara itu menurut laporan terkini dari Indonesia, Ninja ZX-25R di pasaran domestik negara tersebut dikatakan menerima tempahan yang cukup menggalakkan. Malah lebih mengejutkan, terdapat peminat tegar model berkenaan yang sanggup membeli versi terpakai pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding harga asal.
Situasi di pasaran Malaysia pula bagaimanapun agak mengecewakan, kerana tiada sebarang maklumat yang diberikan oleh pihak pengedar Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. Jangkaan harga jualan yang tinggi menjangkau RM 40k di pasaran tempatan mungkin menjadi penyebab utama kenapa model tersebut tidak akan dilancarkan.