Modenas Kriss 110 2019 generasi baharu di pasaran Malaysia, harga RM 3,457.00

Pada tarikh 27hb. September 2019 yang lalu, pengeluar motosikal nasional Modenas secara rasminya melancarkan Modenas Kriss 110 generasi baharu untuk pasaran tempatan. Model tersebut dilancarkan bersama-sama model Modenas Pulsar NS160 yang dilengkapi enjin 160cc, sebagai pilihan kepada model Modenas Pulsar NS200.

Modenas Kriss 110 generasi baharu model tahun 2019 itu tampil dengan enjin empat lejang satu silinder bersesaran 108cc SOHC, dan dilengkapi ciri-ciri seperti transmisi empat kelajuan jenis berputar, sistem penyejukan jenis udara, sistem penyampaian bahan api karburator, sistem penghidup tendang dan elektrik, serta tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 4.2 liter.

Jumlah janaan kuasa yang dikeluarkan oleh enjin tersebut mencapai angka 6.5hp (4.9kW) @ 8,000rpm dengan tork maksimum 6.7Nm @ 6,000rpm, yang pastinya sudah memadai untuk menggerakkan model kapcai dengan berat bersih 97 kilogram itu. Beralih ke bahagian suspensi, ianya terdiri daripada sepasang fork depan teleskopik, manakala di bahagian belakangnya terdapat penyerap hentak jenis dwi kejutan.

Untuk pemberhentian yang selamat dan cekap, Modenas Kriss 110 generasi baharu ini dilengkapi sistem brek jenis gelendong di bahagian depan dan belakang. Rim aloi dengan rekaan lima bilah yang bergaya kemudiannya dipasangkan tayar depan dalam siri 70/90-17 38P, sementara tayar belakang hadir dalam siri 80/90-17 44P.

Untuk melengkapkan lagi perwatakannya sebagai sebuah model mampu milik yang selama ini menjadi ikon rakyat Malaysia, ianya turut didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri menarik lain seperti paparan meter yang kompak dengan kemasan karbon, lampu isyarat LED, ruang simpanan di bawah tempat duduk seluas 6.6 liter, dan turut diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga, mesra alam dan mematuhi piawaian Euro 3.

Pilihan warna yang disediakan pula terdiri daripada warna hitam, biru dan kuning, sementara harga jualannya ditetapkan sebanyak RM 3,457.00 sahaja. Sebagai maklumat tambahan, Modenas Kriss 110 generasi baharu ini merupakan kerjasama di antara Modenas dan syarikat pengeluar motosikal Zongshen dari negara China.