
Astra Honda Motor (AHM) memperkenalkan motosikal mini Honda Monkey edisi 2026 yang tampil dengan wajah lebih segar, melibatkan warna baharu untuk liveri badan, frem dan rim.
3 Warna Pilihan Honda Monkey (2026)


Ada tiga warna pilihan Honda Monkey iaitu Banana Yellow (kuning), Millenium Red (merah) dan Pearl Cadet Gray (kelabu).
Warna hitam dikenakan untuk rim aloi dan frem Honda Monkey. Tempat duduk pula dibalut material dengan corak tartan (corak berpetak-petak).
Pun begitu Honda Monkey masih mengekalkan garis rekaan sama seperti model generasi pertama.
Motosikal ikonik berstatus premium ini tertera logo sayap Honda dengan paparan 3 dimensi dan menggunakan rona krom untuk madgad depan belakang, pelindung ekzos, cermin sisi bulat dan bar hendal jenis tinggi.
Harga Honda Monkey (2026)
Harga atas jalan di Jakarta untuk Honda Monkey ialah 79,345,000 rupiah (anggaran RM17,983 seunit.
Enjin Honda Monkey (2026)
Enjin digunakan jenis satu silinder 125cc SOHC 2-injap sejukan udara (air-cooled) dengan sistem suntikan bahan api (PGM-FI) dengan transmisi klac manual 5-kelajuan.
Kuasa dihasilkan 9.25hp @ 6,750rpm dan tork 11Nm @ 5,500rpm. Enjin dihidupkan dengan menekan butang pemula (electric starter). Tiada penendang kaki (kick start).
Jika jalani servis berkala, penggantian minyak enjin ialah 0.9 liter.
Ciri Moden

Instrumen meter digunakan berbentuk bulat dengan paparan digital membabitkan meter laju, odometer dengan dua trip perjalanan. Ada indikator minyak dengan paparan enam bar.
Sistem pencahayaan jenis LED penuh. Lampu utama kekal berbentuk bulat.
Model ini didatangkan dengan anak kunci yang dilengkapi teknologi sistem maklum balas (answer back system) untuk memudahkan anda mencari motosikal di kawasan parkir.
Honda Monkey menggunakan sistem brek cakera untuk kedua-dua roda dan dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran tunggal (brek depan sahaja).
Saiz brek cakera depan ialah 220mm manakala di belakang berukuran 190mm.
Fork depan jenis teleskopik USD (upside down) 31mm jenama Showa, absober berkembar di belakang juga dari Showa.
Rim aloi 12 inci dibalut tayar bercorak blok dengan ukuran 120/80 (depan) dan 130/80 (belakang).
Spesifikasi Lain
Tangki minyak berukuran 5.6 liter dan berat kasar motosikal ialah 104kg.
Dimensi Honda Monkey ialah panjang 1,710mm, lebar 755mm dan tinggi 1,030mm.
Jarak bumi 175mm dan tinggi pelana 775mm.
