Skuter adventure Yingang T9 akan guna label WMOTO untuk pasaran Malaysia

WMOTO Malaysia sudah memberi petunjuk apa barisan skuter terbaharu mereka mungkin perkenalkan dalam tempoh antara satu hingga tiga tahun lagi.

Salah satunya ialah skuter berwarna merah ini. Setahu kami, model ini belum ada nama rasmi lagi walaupun badan skuter ini tertera teks grafik Paso X 200.

Kalau di China, model ini ialah Yingang T9, skuter gayaan adventure untuk kegunaan harian. Buat masa ini, belum ada maklumat rasmi bila ‘WMOTO T9’ akan masuk Malaysia.

Model yang dipamerkan di Malaysia Bike Show 2026 itu nampak agak menarik dengan komponen standard untuk menyerlahkan karakternya.

Antaranya ialah fork teleskopik USD, meter digital, dua soket USB, penghadang angin boleh laras (manual), lampu kabus, kamera dashcam depan, sistem kemasukan tanpa kunci (keyless) dan meter digital.

Berdasarkan maklumat kami, enjin model ini datang daripada pembekal enjin sama untuk skuter Nexy+ dan Keeway XDV iaitu Loncin. Bezanya mungkin dari segi aspek talaan.

Ini adalah spesifikasi untuk model Yingang T9 di China:

  • Enjin silinder tunggal 174cc dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.
  • Kuasa maksimum 12.5kw @ 8,250rpm dan tork 16Nm @ 7,000rpm.
  • Kotak gear jenis CVT, pacuan tali sawat.
  • Tinggi pelana 810mm hingga 890mm.
  • Dimensi panjang 1,925mm, lebar 785mm dan tinggi 1,230mm.
  • Jarak roda 1,350mm. Jarak bumi 130mm.
  • Berat kering 153kg
  • Tayar depan 110/80-14, tayar belakang 130/70-13
  • Brek cakera depan belakang. Tangki minyak 11 liter.

Galeri Foto WMOTO ‘Yingang T9’