Suzuki Smash 115 Plus ABS (2026): Kapcai kelas 115cc pertama dengan Sistem Brek ABS?

Kapcai 115cc tapi ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)?

Itu adalah taruhan terbaharu dan mungkin agak berani dari pihak Suzuki menerusi model underbone mereka yang dipanggil Suzuki Smash 115 Plus ABS.

Mengapa berani? Suzuki melepaskan diri daripada kelompok pengeluar Jepun yang ‘kedekut’ menawarkan teknologi keselamatan dan ciri-ciri lebih moden pada produk mereka.

Kemunculan Suzuki Smash 115 Plus ABS (2026) pantas menarik tumpuan ramai peminat kerana model itu bukannya nama asing di kebanyakan negara di Asia Tenggara.

Di Malaysia, model Suzuki Smash 115 sudah lama meninggalkan pasaran kita tetapi baru-baru menjelma kembali sebagai AFAZ Kencana Sport 115.

Semua orang tahu, AFAZ Kencana Sport 115 adalah versi lebih premium berbanding model Suzuki Smash 115 di beberapa  pasaran lain.

Tapi… Suzuki mengangkat lagi standard Smash 115 di Thailand dengan mengumumkan varian terbaharu Suzuki Smash 115 Plus ABS.

Perubahan dibuat membabitkan pemasangan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran tunggal pada brek cakera untuk roda hadapan. Kaliper brek 1-piston depan sama macam AFAZ Kencana iaitu Nissin.

Roda belakang masih menggunakan brek dram dan sensor mengukur kelajuan untuk paparan meter (speed sensor).

Paparan kelajuan dipamerkan menerusi skrin meter digital LCD. Antara maklumat dipamerkan ialah meter laju, kedudukan gear, indikator ABS dan paras baki petrol.

Cuma, harga badan diumumkan agak ‘keras’ untuk kapcai 115cc iaitu 59,900 baht (anggaran RM7,144).

Enjin masih sama iaitu silinder tunggal 112.8cc SOHC sejukan udara yang menawarkan kuasa 9.25hp pada 7,000rpm dan tork 9.1Nm @ 6,500rpm.