Suzuki Motor Corporation di Jepun baru-baru ini mengumumkan perubahan emblem korporat buat pertama kali dalam tempoh 22 tahun. Malah langkah itu dibuat seiring dengan pengenalan slogan baharu syarikat iaitu “By Your Side”.
Emblem (atau logo) baharu itu mengekalkan ikon huruf “S” yang sinonim dengan jenama Suzuki tetapi mendapat sentuhan lebih moden dengan reka bentuk rata yang dikatakan sesuai untuk era digital.
Kemasan krom tradisional (sebelum ini) kini digantikan dengan warna cat perak berkilat dengan pendekatan untuk mengurangkan impak pencemaran terhadap alam sekitar serta menandakan peralihan ke era baharu.
Lambang ini akan diperkenalkan secara rasmi pada model-model konsep yang akan dipamerkan di Japan Mobility Show 2025.
Wakil Pengarah dan Presiden Suzuki, Toshihiro Suzuki berkata, lambang baharu ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk menghasilkan produk-produk bernilai dengan fokus kepada pelanggan.
“Di bawah slogan ‘By Your Side’, Suzuki akan terus bergerak seiring pelanggan dengan menyediakan kemudahan mobiliti yang rapat dengan kehidupan masyarakat, sambil menyumbang kepada masa depan yang mampan.”