Honda Trail 125 2022 kini di pasaran USA, harga jualannya bersamaan RM 17,587.60

Model kapcai bergaya ranggi Honda Trail 125 2022 kini mula ditawarkan untuk pasaran USA sejak bulan April yang lepas. Sama seperti model tahun sebelumnya, pilihan warna tunggal yang ditawarkan ialah Glowing Red. Harga jualannya pula ialah $3,999.00, atau bersamaan dengan nilai RM 17,587.60 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.

Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang American Honda Motor, spesifikasi teknikal yang melengkapi Honda Trail 125 2022 ini masih lagi sama dan tiada sebarang perubahan terkini. Enjinnya bersesaran 124.9cc (air-cooled, single-cylinder, four-stroke, SOHC; two valves per cylinder, PGM-Fi) dengan padanan kotak gear empat kelajuan.

Turut melengkapinya ialah sistem lampu LED, fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, brek cakera depan dengan ABS, brek cakera belakang, tayar bersaiz 17 inci dengan rim jejari, carrier belakang yang luas dan tahan lasak, kapasiti tangki bahan api 5.4 liter, sistem ekzos yang tinggi, dan juga ruang kelegaan tanah yang memuaskan.

Untuk peminat aktiviti on-road atau pun off-road, Honda Trail 125 ini pastinya salah satu pilihan yang bersesuaian. Untuk pasaran Malaysia, belum pasti model yang unik seperti ini akan ditawarkan, tambahan pula harga jualannya yang agak tinggi. Namun sekiranya ada permintaan, sudah pasti pihak Boon Siew Honda akan mempertimbangkannya.